SELEBRITI Ieda Moin mengakui dirinya menghidap masalah keresahan (anxiety) dan tidak pernah melakukan pemeriksaan secara terperinci.

Semalam, selebriti versatil yang juga merupakan pelakon, penyanyi, pengacara dan pelawak itu dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur akibat tekanan darah tinggi.

Memetik laporan Mstar, Ieda atau nama sebenarnya Siti Haida Abdul Moin, 43, berkata, masalah yang dialaminya ini berkemungkinan disebabkan kurang rehat kerana terlalu sibuk dengan jadual kerja.

“Sebenarnya doktor pun pelik sebab saya masih boleh berjalan seperti biasa. Kalau ikutkan bacaan tekanan darah ia boleh menyebabkan saluran darah pecah.

“Kata doktor badan saya terlalu penat dan stres. Saya juga ada masalah keresahan dan tidak pernah melakukan pemeriksaan secara terperinci sebelum ini,” katanya.

Tambah Ieda, dia membuat pemeriksaan kesihatan selepas berasa tidak sihat dan sukar bernafas.

“Pada awalnya badan mula rasa tak sedap sehingga saya alami masalah kesukaran bernafas. Saya tidak pernah ada sakit darah tinggi sebelum ini tetapi apabila melakukan pemeriksaan saya terkejut dengan bacaan sampai 196.

“Kemudian apabila doktor pakar periksa tekanan darah naik sehingga 220.

“Saya juga alami kebas pada bahagian muka, bibir dan bahu. Bagaimanapun masih boleh bergerak dan makan seperti biasa.

“Sekarang saya masih berada di wad untuk pemeriksaan lanjut. Doktor mahu pantau dan periksa jika ada masalah lain,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, Ieda tidak mahu mengambil masa terlalu lama untuk berehat kerana memikirkan komitmen kerja walaupun pihak doktor menyatakan bacaan tekanan darah yang dihadapinya adalah serius dan boleh memberi kemudaratan.

“Memanglah kena berehat, tetapi saya perlu fikirkan komitmen kerja. Saya tak mahu susahkan produksi jika tidak hadir ke set penggambaran.

“Walau apa pun saya tetap kena bekerja, kalau tak kerja siapa nak bagi duit,” jelasnya.

Pelantun lagu Kahwin Lagi itu dinasihatkan untuk berehat dalam tempoh lima hari dan akan kembali menjalani penggambaran pada 10 Jun ini.