Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. - GAMBAR: Abd Razak Aid

SEORANG pegawai bank hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa hampir AS$670 juta dipindahkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak, melibatkan lima transaksi antara 2011 hingga 2013, termasuk dana daripada Putera Faisal Turkey Al-Saud.

Pengurus Bahagian Unit SWIFT di Ambank (M) Berhad, Wedani Senen, 48, berkata, kesemua transaksi itu melibatkan akaun bekas perdana menteri itu, berakhir dengan nombor 694.

Saksi pendakwaan ke-29 itu berkata wang berjumlah AS$20 juta dimasukkan ke dalam akaun Najib bernombor 694 oleh Putera Faisal melalui dua transaksi pada 24 Feb 2011 dan 14 Jun 2011.

Saksi itu juga mengesahkan bahawa pada 30 Okt 2012 dan 19 Nov 2012, sebanyak AS$4,999,988 dan AS$24,999,988 dipindahkan daripada Blackstone Asia Real Estate Partners (syarikat milik sekutu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low iaitu Eric Tan) ke dalam akaun Najib.

Mahkamah juga diberitahu bahawa AS$620 juta dipindahkan ke dalam akaun Najib daripada Tanore Finance Corp pada 22 Mac 2013.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes Najib berhubung penyelewengan dana RM2.3 bilion daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada prosiding sebelah pagi, pakar undang-undang bagi Polisi Perniagaan di Unit Polisi Perniagaan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (LFSA) Mohamed Fairudz Mohd Hanif, 38, mengesahkan bahawa dua syarikat iaitu Good Star Limited dan PetroSaudi International Limited (PSI) yang menerima dana sebanyak AS$1.83 bilion daripada 1MDB di antara 2009 dan 2011, masing-masing telah dibubarkan pada 2014 dan 2015.

Good Star Limited yang dimiliki oleh Jho Low dibubarkan pada 2 Mei 2014, manakala PSI yang dimiliki warga Arab, Tarek Obaid dibubarkan pada 8 April 2015.

BERITA BERKAITAN Tiada halangan untuk pindah wang 1MDB ke Petrosaudi – Saksi

Mohamed Fairudz berkata, pihaknya menerima maklumat itu daripada Seychelles Financial Services Authority (Seychelles FSA), selepas LFSA menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapatkan maklumat dari empat buah negara pesisir bagi kes 1MDB.

“Negara-negara tersebut adalah British Virgin Island, Seychelles, Caracao dan Cayman Island. SPRM yang mewakili kerajaan Malaysia memohon kepada LFSA bagi mendapatkan maklumat berhubung Good Star Limited dan PSI yang didaftarkan di kepulauan Seychelles,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-28 itu berkata susulan itu, beliau telah menghantar satu surat bertarikh 10 Ogos 2018 kepada Ketua Pengarah Eksekutif, Seychelles FSA dan juga kepada Supervision Manager, Seychelles FSA dan jawapan daripada pihak Seychelles FSA diterima selepas dua bulan permohanan itu dibuat.

Beliau berkata menurut pihak Seychelles FSA, kedua-dua syarikat itu yang berada di dalam daftar syarikat Syechelles FSA mempunyai alamat perniagaan yang sama dan menggunakan ejen pendaftaran syarikat yang sama iaitu Vistra (Seychelles) Limited (sebelum ini dikenali sebagai Offshore Incorporations (Seychelles) Limited).

Sebelum ini, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu mahkamah bahawa AS$1.83 bilion dana 1MDB disuntik ke dalam PSI dan Good Star Limited.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin ini.

— BERNAMA