Remaja 16 tahun hilang, ibu rayu bantuan orang ramai

Dari Penulis

SEORANG ibu merayu orang ramai membantu mencari anak lelakinya yang hilang dari rumah mereka di Bandar Bukit Puchong 2 kira-kira jam 4 pagi semalam.

Wan Esuriyanti Wan Ahmad berkata, anak lelaki tunggalnya, Ali Imran Naseruddin, 16, yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik, tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi sejak itu.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 4, ditemui hilang dari biliknya kira-kira pukul 5.30 pagi ketika Wan Esuriyanti mahu mengejutkannya untuk ke sekolah.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari pondok pengawal keselamatan menunjukkan remaja berkaca mata itu berjalan keluar dari kawasan perumahan itu pada jam 4 pagi.

Laporan orang hilang telah dibuat di balai polis Puchong dan kes itu kemudiannya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, katanya seperti dilapor NST Online.

Kini sudah lebih 24 jam sejak remaja itu hilang dan polis telah mengeluarkan amaran orang hilang.

“Rakaman CCTV menunjukkan Ali berpakaian serba hitam – jaket kegemarannya, baju-T, seluar jeans, kasut dan topi apabila dia keluar melalui pondok pengawal. Ali membawa beg kecil berwarna biru laut bersamanya. Dia bersendirian dan tiada siapa yang menunggunya.

“Telefon bimbitnya telah dimatikan. Dia sebelum ini telah menutup ciri lokasi pada telefonnya untuk menjimatkan bateri. Saya telah menghantar teks kepadanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) memberitahunya bahawa kami mencintainya, memanggilnya ‘anak mama’ dan namanya.

“Saya meminta semua orang mendoakan keselamatan Ali dan membantu mencarinya. Jangan menilai dia. Dia budak yang baik. Itu sahaja yang saya minta,” katanya.

Wan Esuriyanti berkata, kali terakhir melihat Ali kira-kira jam 11 malam, selepas mereka berbual di biliknya.

“Saya cium dahinya dan kami cakap kami sayang antara satu sama lain. Saya doakan dia dan minta dia tidur kerana dia perlu bangun awal untuk ke sekolah.

“Saya kata saya akan kejutkan dia kira-kira pukul 5.30 pagi. Ali cakap ‘baik mama’,” katanya.

Wan Esuriyanti berkata, Ali, seorang remaja lelaki yang penyayang, sopan, suka menolong dan baik, suka menulis dan ingin mengikut jejaknya menjadi seorang wartawan.

Guru dan rakan baik Ali terkejut mendengar kehilangannya, mengatakan bahawa dia tidak ada menghubungi mereka.

Dalam catatan Facebooknya, Wan Esuriyanti berkata, setakat 2.40 pagi hari ini, polis telah mengedarkan gambar Ali di stesen minyak dan surau.

“Kami meminta bantuan semua orang untuk terus mencarinya dan menghubungi saya, Wan Es di talian 019-2216 483 atau suami saya, Naser di talian 011-31770 502, atau balai polis berhampiran dengan segera.

“Tolong doakan keselamatan Ali dan pulang ke rumah kami semula. Terima kasih,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

LRT Shah Alam buka lembaran baharu mobiliti rakyat – Loke

PEMBUKAAN rasmi Laluan LRT Shah Alam hari ini menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usaha kerajaan memperkukuh sistem pengangkutan...

More Articles Like This