Fadillah Yusof dan Saarani Mohamad meluangkan masa kira-kira sejam meninjau keadaan Jalan Raya Timur-Barat dekat Gerik hari ini./Gambar FB JKR Hulu Perak.

KONDISI Jalan Raya Timur Barat sering ditimbulkan di media sosial – berlubang-lubang, tampalan tidak sempurna, air bertakung dan pelbagai aduan lagi.

Sedangkan ia jalan utama menghubungkan utara ke pantai timur dan sebaliknya selain penting untuk membawa barang dagangan antara dua wilayah itu.

Hari ini, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof sendiri hadir meninjau keadaan jalan raya tersebut di Gerik bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Kedua-dua pemimpin itu meninjau hampir sejam di jalan tersebut iaitu Laluan Persekutuan FT004 yang mula dibuka 40 tahun lalu.

Berhubung lawatannya, Fadillah berkata, kerja-kerja penampalan dan penurapan di jalan tersebut akan dibuat segera Sabtu ini.

Baca: Selepas netizen, MB Perak juga bersuara keadaan Jalan Raya Timur Barat

Mementik laporan Bernama, beliau memaklumkan, Kementerian Kerja Raya (KKR) memerlukan peruntukan RM3.4 bilion bagi membaiki Jalan Persekutuan yang sakit atau rosak di seluruh Semenanjung Malaysia.

Katanya, peruntukan diperlukan bagi memulakan kerja-kerja penambahbaikan dari segi penurapan, membuat lapisan atau jalan baharu, yang dijangka siap semuanya pada tahun depan.

“Kita sedar, banyak keutamaan diambil kira sebelum peruntukan dikeluarkan yang kadangkala tidak mencukupi, seperti RM68 juta yang diperlukan di Laluan Persekutuan FT004 (Jalan Timur Barat) ini.

“Kita tidak salahkan Kementerian Kewangan (MOF). Tapi itulah cabaran dihadapi. Namun kita akan cari jalan untuk membaikinya dari segi jangka pendek atau jangka panjang,” katanya dalam sidang media di Gerik.

Menurut Fadillah, KKR telah kenal pasti jalan tungggakan, bukan sahaja di Perak tetapi di seluruh Semenanjung Malaysia yang perlu diperbaiki selepas lima atau tujuh tahun tarikh hayatnya.

“Ini kerana lapisan asal jalan tidak mampu lagi menampung (trafik). Bayangkan pula jika jalan itu dibina 40 tahun lamanya seperti di Gerik ini,” jelasnya.

Fadillah berkata kebiasaannya, antara langkah awal atau pelan jangka pendek dalam radar KKR, dengan membuat tampalan semula sebelum membina lapisan atau jalan baharu di lokasi jalan persekutuan yang telah dikenal pasti.

Sementara itu, ,menurut siaran media, Laluan Persekutuan FT004 itu merupakan Jalan utama Timur–Barat di Zon Utara Malaysia, yang menghubungkan tiga (3) negeri bermula di Kulim, Kedah melalui Gerik, Perak dan berakhir di Pasir Puteh, Kelantan dengan panjang keseluruhan jalan adalah 291.99KM.

Laluan FT004 di dalam Negeri Perak adalah sepanjang 114.660KM bermula di Seksyen 83.74 di sempadan Kedah dan berakhir di Seksyen 198.40 di sempadan Jeli, Kelantan.

Antara jenis kerosakan jalan raya yang telah dikenal pasti, kerosakan permukaan jalan, garisan cat jalan pudar, kerosakan lampu jalan dan kerosakan longkang yang mengakibatkan air bertakung.