PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengambil langkah berani dan tegas dengan membuat keputusan untuk tidak mengapungkan harga ayam di pasaran demi kebajikan Keluarga Malaysia.
Pada masa sama, kerajaan turut memutuskan untuk mengekalkan kadar tarif elektrik dan air di Semenanjung sekali gus terus menampung subsidi bagi kedua-dua tarif tersebut.

Menurut Perdana Menteri, harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan walaupun sebelum ini memutuskan kawalan harga siling ayam tidak diteruskan mulai 1 Julai depan.
Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, harga siling baharu akan diumumkan dalam masa terdekat oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.
“Keputusan yang dibuat ini membuktikan keprihatinan kerajaan demi menjaga kepentingan Keluarga Malaysia agar tidak terbeban dengan peningkatan harga dan cabaran kos sara hidup,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Harga siling ayam, telur dan subsidi minyak masak kemasan botol tidak diteruskan
Mengulas mengenai tarif elektrik, Perdana Menteri memaklumkan, kerajaan terus komited untuk menampung subsidi tarif elektrik sebanyak RM5.8 bilion, biarpun berlaku peningkatan mendadak kos bahan api dan kos penjanaan lain.
“Sehubungan itu, kadar tarif elektrik dan air kekal seperti sekarang,” jelas beliau.
Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk tidak meneruskan kawalan harga siling ayam dan telur ayam mulai 1 Julai ini sekali gus membuatkan harga akan diapungkan dan tertakluk kepada kuasa pasaran.
Pada masa ini kerajaan menetapkan harga maksimum runcit ayam dan telur bagi Semenanjung Malaysia bagi ayam bulat standard adalah pada RM8.90 sekilogram dan ayam bulat super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal) pada RM9.90 sekilogram.
Desas-desus kenaikan tarif elektrik turut kedengaran ekoran kos penjanaan elektrik meningkat dengan mendadak dan pantas.
Kenaikan tarif elektrik dikatakan tidak dapat dielakkan disebabkan permintaan tenaga melonjak, gangguan bekalan bahan api serta kekurangan minyak, gas dan arang batu yang semakin meningkat di peringkat global telah menyebabkan harga tenaga global melambung tinggi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

