KPDNHEP telah merampas sebanyak 17 unit alat teknologi penstriman berserta dokumen yang berkaitan.

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menahan dua lelaki termasuk seorang warganegara asing kerana menjual alat teknologi penstriman (android box) dalam serbuan di sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Dalam serbuan pada 22 Jun lalu ke atas tiga premis berasingan di dalam pusat membeli belah itu disertai seramai 12 anggota penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Putrajaya, Azman Adam berkata, serbuan yang bermula pada pukul 12 tengah hari dilakukan hasil daripada maklumat serta risikan awal kementerian KPDNHEP.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas tiga premis terbabit, KPDNHEP telah merampas sebanyak 17 unit alat teknologi penstriman berserta dokumen yang berkaitan.

“Ia disyaki mengandungi karya hak cipta yang diadukan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM 6,800,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: 16 pekerja seks warga asing ditahan di ibu kota

Azman berkata, dua lelaki berumur lingkungan 30-an kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut.

Mereka katanya disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 43AA Akta Hak Cipta 1987 iaitu melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya dengan menjual suatu teknologi penstriman.

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM200,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Mengulas lanjut Azman berkata, KPDNHEP telah menambahbaik Akta Hak Cipta 1987 melalui pindaan kepada Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 yang telah berkuatkuasa
mulai 18 Mac 2022 lalu.

Ia memberi penekanan dalam usaha pihak Kementerian untuk membanteras pelanggaran hak cipta secara dalam talian atau cetak rompak digital ini dengan lebih berkesan.

“Pihak Kementerian ingin mengingatkan kepada semua peniaga agar tidak menjual alat teknologi penstriman seumpama ini.

“Tindakan penguatkuasaan serta pemantauan yang berterusan dan tegas akan dilakukan oleh pihak Kementerian kerana alat teknologi penstriman iniberupaya untuk melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya hak cipta yang dilindungi,” tambahnya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram