BEBERAPA hari ini dunia hiburan gegak gempita dengan filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan. Berita semalam melaporkan, filem epik sejarah arahan Syamsul Yusof itu sudah meraih kutipan melebihi 12 juta dalam masa hanya empat hari tayangan.

Aura pahlawan Melayu itu terasa hidup. Di sana sini terutamanya dalam media sosial, orang bercerita tentang Mat Kilau termasuk menyingkap sejarah dan menyoroti kisah perjalanan pejuang dari Pahang itu.

Filem Mat Kilau kini menjadi sebutan, sekaligus memperkenalkan semula nama pahlawan Melayu itu kepada generasi muda.
Mat Kilau, antara pahlawan Melayu terbilang yang tigak gentar menentang penjajah.

Dahulu, Mastika juga pernah beberapa kali menyiarkan kisah berkaitan Mat Kilau. Salah satu daripadanya adalah temubual pada tahun 2011 bersama salah seorang cucunya, Mohd Alhamadi Abu Bakar yang ketika itu merupakan seorang guru di Sekolah Menengah Mat Kilau, Batu 5, Jalan Gambang, Kuantan.

Apa pesan Mat Kilau kepada waris-warisnya? Apa yang ditinggalkan pahlawan terbilang itu?

Kami siarkan semula kisah ini untuk tatapan pembaca.

*******

Selepas 41 tahun kematian Mat Kilau..

“Hanya inilah peninggalan aki saya!”

Cucu Mat Kilau yang ditemubual Mastika pada tahun 2011 dan gambar rumah Mat Kilau.

BENARKAH seperti yang ditulis oleh Pak Sako bahawa Mat Kilau seorang pahlawan sejati? Apakah yang telah berlaku sesudah 41 tahun kematian pahlawan agung negara ini?

Apa Mat Kilau dapat selama berjuang? Adakah beliau meninggalkan banglo, kereta besar dan ladang beratus ekar? Seperkara lagi tidak adakah anugerah yang layak dikalungkan kepada Mat Kilau?

Misalnya Anugerah Pahlawan Teragung Sepanjang Zaman atau Tun Mat Kilau sebagaimana anugerah pernah diberikan kepada tokoh berjasa seperti Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee sesudah kematiannya sebagai mengenang jasa-jasanya.

Mohd. Alhamadi Abu Bakar tersenyum mendengar soalan yang diajukan penulis. Beliau lalu menunjukkan teratak buruk kediaman terakhir yang didiami Allahyarham datuknya, pahlawan agung negara, Mat Kilau.

Teratak kayu yang terletak di Batu 5, Jalan Gambang, Kuantan ini sudah uzur, hampir menyembah bumi. Kayu-kayunya ada yang sudah reput.

Berdasarkan tulisan Pak Sako, pada awal kemunculan Mat Kilau, pahlawan Pahang itu khabarnya telah diberi sebuah rumah khas untuk berehat-rehat sebelum berangkat ke Tanah Suci Mekah. Benarkah begitu?

Alhamadi tersenyum lagi. Sewaktu kemunculan datuknya, Alhamadi baru berusia enam tahun. Namun sepanjang pengetahuan Alhamadi, hanya inilah saja rumah yang didiami Allahyarham datuknya sehingga ke akhir hayat.

Memang tidak ada rumah batu, banglo, kereta atau sebarang kediaman lain, atau ladang?

Alhamadi menggeleng-gelengkan kepala. Alhamadi lalu menunjukkan sekeping geran tanah yang masih disimpannya.

“Tanah seekar inilah peninggalan arwah aki saya. Tak percaya, tengok geran ni. Namanya Mat Ibrahim, nama samaran Mat Kilau! Ayahnya Khatib Rasu Tok Gajah. Ibunya Teh Mahda Tok Kaut!” beritahu Alhamadi lagi.

Tanah tersebut dimohon datuknya pada tahun 1953 atas nama Mat Ibrahim. Ketika itu kerajaan tidak tahu Mat Siam atau Mat Ibrahim itu sebenarnya Mat Kilau.

Benar seperti tulisan Pak Sako tadi, Mat Kilau banyak menggunakan nama samaran bagi mengelirukan penjajah dan menyamar supaya tidak dikenali tali barut Inggeris. Antara nama samaran Mat Kilau ialah Mat Siam, Mat Dahan, Mat Dadu, Mat Din dan Mat Ibrahim.

Pada tahun 1996, sebahagian tanah milik geran tertera nama Mat Ibrahim ini diambil untuk projek membuat jalan Kuantan-Kuala Lumpur. Namun wang pampasan datuk Alhamadi sebanyak RM3,534 itu dibayar atas nama Mat Ibrahim dan diletakkan di bawah kuasa Amanah Raya Malaysia.

“Duit aki saya itu tak boleh dituntut sebab tak ada surat mati bukti arwah aki saya meninggal dunia,” cerita Alhamadi.

Itukah saja harta peninggalan arwah Mat Kilau atau…

“Inilah saja harta aki saya termasuk sebilah keris dan mata lembing!” akui Alhamadi.

Di mana keris dan lembing itu?

Alhamadi memberitahu keris pusaka datuknya itu tidak pernah ditunjukkan kepada sesiapa dan disimpan dengan baik di rumahnya. Keris itulah yang pernah digunakan datuknya untuk berjuang melawan penjajah Inggeris.

Lalu Alhamadi mengajak penulis ke rumahnya. Tidak lama kemudian, beliau muncul membawa sesuatu yang dibungkus dengan serban dari Mekah. Alhamadi lalu membuka serban berkenaan yang dibalut dengan sehelai kain merah di dalamnya.

“Inilah keris aki saya yang diberi ayahnya Tok Gajah ketika Mat Kilau berusia 16 tahun!” cerita Alhamadi lagi.

Alhamadi menunjukkan senjata pusaka datuknya, Mat Kilau.

Alhamadi lalu meminta penulis membacakan al-Fatihah dan menyedekahkan kepada datuknya, Allahyarham Mat Kilau.

Alhamadi memberitahu keris itu tidak boleh dibuka sembarangan kecuali anak cucu Mat Kilau sendiri. Ini kerana keris itu pernah bermandi darah membunuh penjajah Inggeris dan konco-konconya.

Alhamadi seterusnya menitipkan kata-kata hikmat datuknya yang masih diingati.

“Falsafah aki saya – lawan musuh yang ramai macam makan bubur panas. Maknanya, kiasannya, makan dulu dari tepi, tak boleh cedok dari tengah, macam orang menebas, repih tepi-tepi dulu!” jelasnya.

Penulis merasa sebak apabila memegang keris Mat Kilau. Hanya inilah saja peninggalan seorang pejuang Melayu teragung abad ini, bukan banglo, kereta mewah berderet-deret, tanah dan ladang beratus-ratus ekar, atau gelaran Tun, Tan Sri dan Datuk!

Benarlah seperti kata Pak Sako, Mat Kilau seorang pahlawan sejati! Apabila beliau meninggal dunia pada 16 Ogos 1970, pukul 6.45 pagi, Mat Kilau hanya berpesan kepada anak-anak dan cucunya supaya meneruskan perjuangannya yang belum selesai.

“Aki saya pesan, perjuangan mesti diteruskan, jangan biar tanah air sendiri tergadai,” beritahu Alhamadi lagi.

“Mat Kilau berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air. Aki saya tak nak apa-apa ganjaran berupa pingat, mahupun pangkat dan kedudukan,” kata Alhamadi.

Pesan Mat Kilau kepada waris-warisnya, perjuangan harus diteruskan, jangan sampai tanah air sendiri tergadai.

Benarlah seperti kata Pak Sako. Mat Kilau tidak tergiurkan sebarang pingat dan bintang. Beliau seorang pahlawan sejati. Mat Kilau tetap kekal dengan gelarannya sebagai Mat Kilau sampai bila-bila.

NOTA: Mat Kilau memiliki tujuh orang anak hasil perkahwinan dengan isteri terakhirnya, Wan Hajrah. Ibu Mohd Alhamadi, Zaleha Mohamad (Munah) anak kepada Mat Kilau berkahwin dengan Abu Bakar yang bekerja di Jabatan Pertanian Paya Besar.

** Kisah ini ditulis oleh Sahidan Jaafar yang disiairkan dalam Mastika edisi Jun 2011.

____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’