pegawai

POLIS berjaya memberkas semula seorang lelaki yang meloloskan diri ketika dibawa dari Ibu Pejabat Polis Daerah Selama ke Mahkamah Majistret Taiping, semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Osman Mamat berkata, lelaki itu merupakan orang kena tuduh (OKT) bagi tujuan pertuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Jelas beliau, lelaki itu telah melarikan diri ke kawasan Ulu Sepetang kira-kira pada jam 8.05 pagi hari kejadian.

Menurut Osman, pihaknya telah membuka dua kertas siasatan ekoran daripada insiden ini mengikut 223 dan 224 Kanun Keseksaan.

“Tindakan pantas polis telah berjaya membuat tangkapan ke atas suspek yang berusia 30 tahun di kawasan Redang Panjang, Selama dalam tempoh kurang 24 jam.

“Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek mempunyai dua kes, masing-masing satu samun berkawan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang berlaku di Taiping.

“Manakala satu lagi kes dikehendaki mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan di Ayer Keroh, Melaka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Kaki skodeng pecah rumah diberkas polis

Mengulas lanjut, Osman berkata, tahanan reman ke atas suspek telah diperoleh daripada Mahkamah Majistret Taiping selama empat hari bagi melengkapkan siasatan.

Katanya, polis turut menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

“Orang ramai juga digesa agar menjadi pengguna media sosial yang bertanggungjawab dan tidak menggunakan platform ini untuk mendatangkan kegentaran pada orang awam,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram