PROFESOR Undang-Undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Dr Rahmat Mohamad dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang baharu.
Pelantikan Dr Rahmat yang juga pakar perundangan dan hak asasi manusia itu untuk tempoh tiga tahun berkuatkuasa 22 Jun lalu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Dalam kenyataan itu, Ismail Sabri turut memaklumkan Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan seramai lapan anggota Suhakam yang baharu bagi sesi 2022-2025.
Selain Dr Rahmat, turut dilantik ialah Prof. Datuk Noor Aziah Mohd Awal, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, Dr. Chew Chee Ming (Sarawak), Datuk Mary@Mariati Robert (Sabah), Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican, Nazira Abdul Rahim; dan Ragunath Kesavan.
Baca: Jantina ketiga pula, Jakim tuntut penjelasan Suhakam – Ahmad Marzuk
Menurut Perdana Menteri, pelantikan itu dibuat mengikut Subseksyen 5(2) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 [Akta 597].
“Semoga lantikan yang inklusif ini akan lebih memperkasakan SUHAKAM dalam melaksanakan aktiviti-aktivitinya demi kesejahteraan negara,” katanya hari ini.
Berkelulusan Phd dalam undang-undang antarabangsa dari University Of Wales, Aberystwyth dan Sarjana Undang-Undang University of Bristol, Dr Rahmat memulakan kerjaya di UiTM pada tahun 1986.
Beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor UiTM dan juga menjadi Dekan Fakulti Undang-Undang di universiti berkenaan.
Dr Rahmat antara empat ahli akademik yang terlibat membentangkan kertas kerja kepada Majlis Raja-Raja mengapa Statut Rome perlu ditolak.
Pelantikan Dr Rahmat menggantikan Tan Sri Othman Hashim yang menjadi Pengerusi Suhakam bagi penggal 2019-2022.
Othman merupakan bekas diplomat dengan jawatan terakhirnya ialah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar.

