PENYANYI Bella Astillah dilantik sebagai duta kepada haruman terbaharu De’Xandra iaitu koleksi selebriti bertemakan cinta yang menyokong usaha mendekati golongan bermasalah kesihatan mental.
Sempena perasmian The Grand Launching of De’Xandra Celebrity Collection, syarikat haruman popular tanah air ini turut melancarkan kempen kesedaran kesihatan mental bertemakan De’Xandra Heals The World yang berlangsung baru-baru ini.
Bella, atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Bella Astillah, 28, menyatakan bahawa apabila De’Xandra menghubunginya untuk menjadi duta kepada kempen ini, dia tidak berfikir panjang lalu terus menerima tawaran itu.
“Saya sebelum ini telah dihubungi untuk menjadi duta kepada beberapa produk kecantikan dan wangian.
“Namun apabila mereka (De’Xandra) menghubungi saya untuk menjadi duta kepada produk dan kempen ini, saya terus menerima tawaran tersebut kerana saya merupakan peminat kepada produk ini sejak berusia muda dahulu lagi,” katanya ketika ditemui pada upacara perasmian tersebut.

Sementara itu, menurut pengasasnya, Ernayanee Nur Julaimi, kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini diadakan untuk membantu memberi lebih banyak kesedaran mengenai kesihatan mental yang kian merisaukan.
“Kempen ini berlangsung sepanjang tahun yang turut disokong selebriti yang terlibat dengan De’Xandra, pihak pengurusan tertinggi, rakan strategik termasuk stokis, pengedar dan dropship yang berada di negara ini, Singapura, Indonesia dan Brunei.
“Tujuan diadakan sebagai menyatakan pendirian dan sokongan serta usaha kami dalam membantu memberi lebih banyak kesedaran kepada pelbagai pihak tentang situasi kesihatan mental yang kian meruncing.
“Sebelum ini, kebanyakan program CSR De’Xandra yang menjadi agenda tahunan lebih tertumpu kepada kebajikan, pengurusan bencana, pembangunan sahsiah dan ekonomi. Bagaimana pun pada kempen kali ini, kami mengangkat isu kesihatan mental ekoran berlakunya peningkatan signifikan dalam kes bunuh diri di dalam negara malah di peringkat global,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Tambah Ernayanee, kempen tersebut akan menengahkan wangian koleksi selebriti bertemakan persahabatan dan cinta.
Selain Bella, pereka fesyen Rico Rinaldi juga dipilih sebagai duta koleksi tersebut.
“Koleksi wangian terbaharu cetusan idea dan kolaborasi citarasa selebriti artis Bella Astillah dan pereka fesyen Rico Rinaldi yang dikenali sebagai Celebrity Collection sangat istimewa.
“Rico Rinaldi mengenengahkan perlambangan pentingnya nilai persahabatan manakala wangian Bella Astillah yang tampil merah, diibaratkan warna rona cinta dalam membantu memberi suntikan semangat baru kepada mereka yang memerlukan termasuk golongan yang menghidapi masalah awal kesihatan mental.
“Kami yakin nilai persahabatan dan cinta ini merupakan tunjang dalam apa jua situasi kerana kita memerlukan sahabat untuk saling menyokong, kasih sayang dan cinta. Justeru melalui koleksi selebriti ini menyampaikan mesej yang jelas dan baharu kepada penggemar-penggemar minyak wangi di luar sana tentang nilai persahabatan dan cinta yang sebenar,” ujarnya.

