JIKA Rom terkenal dengan pahlawan Gladiator, Jepun dengan Sumo, Mexico dengan pahlawan Lucha Libre, di Asia Tenggara juga ada gelaran tersendiri. Salah satunya di daerah Nusa Tenggara Barat, Indonesia yang dikenali sebagai ‘pahlawan kepala’.
Pahlawan kepala bukanlah individu yang memenggal kepala orang, tetapi mereka adalah pahlawan yang bertarung gusti kepala.  Pertandingan gusti kepala atau juga disebut ‘laga kepala’ merupakan tradisi kaum Bima yang tinggal di Pulau Sumbawa, Indonesia.

Suku ini memang terkenal dengan tradisi perlawanan laga kepala. Boleh dikatakan, setiap tahun pahlawan kepala silih berganti mengisi tempat juara setiap kali musim menuai tiba.
Tradisi unik yang disebut ‘Entubu’ ini disambut ketika musim menuai. Entubu yang juga bermaksud laga kepala ini adalah tradisi warisan nenek moyang suku Bima di pulau ini.
Banyak juga suku kaum menjadikannya sebagai ritual wajib perayaan hari menuai. Malah, pesta ini boleh ditemui sehingga ke Borneo. Mungkin hubungan pada zaman silam menjadikan pesta ini sesuatu yang sudah menjadi warisan.
Suku kaum Bima telah mendiami Pulau Sumbawa sejak tahun 10 Masihi lagi. Banyak manuskrip lama menceritakan kewujudan kaum Bima di pulau Sumbawa.
Pertandingan laga kepala ini telah dilakukan sejak generasi pertama bertapak di kepulauan ini. Sesuatu yang unik mengenai pesta laga kepala ini adalah ia dipertandingkan bersama alatan muzik yang seakan sama dengan muzik persilatan.


Menurut seorang penduduk tempatan yang dikenali sebagai Kasim, pertandingan laga kepala ini adalah satu kesinambungan keperwiraan pahlawan pada zaman dahulu kala. Pada zaman dulu, hanya hulubalang dan pahlawan yang handal saja bertanding gusti ini.
Tradisi laga kepala ini bermula selepas kerajaan Bima menganjurkan pertandingan mencari pahlawan handal untuk dijadikan panglima bagi menjaga negara Bima. Kehadiran pelbagai kaum lain terutama daripada Makasar telah menjadikan kerajaan Bima bertambah kuat.
Justeru selepas mengalami beberapa perubahan zaman, tradisi pertandingan laga kepala kemudiannya menjadi budaya yang terus diamalkan masyarakat Bima dan dianggap sebagai satu kemestian setiap kali mereka menyambut pesta menuai.
Jelas Kasim, sebelum laga kepala dilakukan, satu upacara bacaan mantera akan dilakukan. Upacara ini akan dimulakan oleh seseorang yang dikenali sebagai dalang. Peranan dalang dalam pertandingan sebegini adalah sebagai pembuka gelanggang dan juga orang yang bertanggung jawab meleraikan pahlawan yang naik minyak.


Selepas pembukaan gelanggang dilakukan, dalang akan membawa enam orang pahlawan kepala untuk beraksi. Juara pahlawan kepala tahun lalu, kemudiannya akan memulakan ritual pertandingan dengan mempersembahkan sejenis tarian seakan-akan silat tari.
Sambil menikmati dendangan mantera oleh seorang wanita tua, para peserta kemudiannya akan melalui satu episod kelekaan. Keadaan leka ini seolah-olah seperti orang kena rasuk. Waktu inilah, juara laga kepala akan mengajukan kepalanya pada pahlawan lain untuk beradu kekuatan kepala.
Percaya atau tidak, mereka menghantukkan kepala tanpa perasaan. Reaksi wajah mereka langsung tidak menunjukkan rasa sakit. Selepas itu, pertarungan akan berlaku di mana kedua-dua pahlawan akan menolak kepala antara satu sama lain untuk menjatuhkan lawannya.
Acara tolak menolak ini, sekali imbas seakan sama seperti gusti Sumo namun sesuatu yang berbeza ialah, pahlawan gusti kepala bertanding di bawah pengaruh sedar.
Jelas Kasim, pesta gusti kepala ini dibuat bagi meraikan hasil yang diperoleh pada tahun itu. Lagak enam orang pahlawan kepala ini bertanding adalah sebagai simbolik kuasa alam menjaga tanaman dan kesuburan tanah. Ia juga melambangkan bagaimana anasir jahat seperti makhluk perosak, penyakit dan bencana dilawan untuk mendapatkan hasil yang baik untuk dimakan.
Sekali imbas, perayaan ini agak mirip dengan perayaan pesta menuai di tempat lain cuma ia berbeza melalui acara-acara yang dimuatkan ke dalamnya. Apa pun, masih banyak lagi perayaan dalam suku kaum di Nusantara yang unik dan menjadi tradisi warisan berzaman.

_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

