KERAJAAN negeri akan memberi kebenaran warga petani yang berminat untuk mengusahakan aktiviti pertanian di tanah-tanah terbiar milik kerajaan terutamanya bagi tanaman kontan.

Ketua Menteri Melaka,  Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata pembangunan tanah-tanah terbiar itu dapat dimanfaatkan bagi meningkatkan hasil pengeluaran pertanian di Melaka sekali gus memastikan bekalan makanan dan keperluan penduduk mencukupi.

“Penggunaan tanah terbiar untuk pertanian adalah antara perkara dibincangkan dalam mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

“Sehubungan itu saya, telah meminta Pejabat Tanah dan Galian di ketiga-tiga daerah mengambil maklum dan memberikan kebenaran kepada mana-mana pihak yang berminat untuk mengusahakan tanah terbiar ini mengikut jenis tanaman yang mereka miliki,”  katanya kepada pemberita di Ayer Keroh, di Melaka, hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN)  2022 peringkat negeri dan turut dihadiri Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Program selama tiga hari yang bertemakan ‘Pertanian Pemangkin Ekonomi Keluarga Malaysia’ itu disertai seramai 92 pempamer dari seluruh Melaka serta dihadiri lebih 10,000 pengunjung.

BERITA BERKAITAN Pekebun kecil, penoreh dapat bantuan musim tengkujuh RM600 seorang tahun ini

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata  mengikut rekod yang dikeluarkan Jabatan Perangkawan Malaysia bagi Melaka pada tahun 2021, sektor pertanian berada di tempat ketiga tertinggi iaitu dengan 10.9 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Katanya, kerajaan negeri juga sentiasa komited untuk memastikan Self Sufficiency Level (SSL) atau tahap sara diri pengeluaran hasil agro makanan Melaka terus dipertingkatkan bagi menampung keperluan bekalan makanan penduduk.

“Pencapaian semasa SSL Melaka bagi Telur Ayam (SSL 925.0 peratus), daging ayam pedaging (SSL 296.0 peratus), daging lembu /kerbau (SSL 32.0 peratus), sayur-sayuran (SS 20.0 peratus), buah-buahan (SSL 39.0 peratus) dan padi (SSL 11.0 peratus).

“Justeru, saya menyeru kepada semua warga tani untuk mengambil langkah proaktif agar pengeluaran hasil pertanian ladang, penternakan dan perikanan di negeri ini dapat ditingkatkan lagi,” katanya.

— BERNAMA