Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa. GAMBAR: Abd Razak Aid

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) sedang memantau syarikat yang diberi tender untuk memasang hab rangkaian gentian optik titik kehadiran atau Point of Presence (PoP) di 700 sekolah luar bandar di Sabah.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata pelaksanaan projek yang sepatutnya siap akhir tahun ini agak perlahan dan syarikat perlu meningkatkan prestasi pelaksanaan di bawah PoP Fasa 1 itu. 

“Semua projek PoP di sekolah terlibat di Sabah ini akan diteruskan dan kementerian akan melancarkan PoP Fasa 2 sebelum penghujung tahun ini, Sabah dan Sarawak juga akan diberi keutamaan bagi projek ini,” katanya menjawab soalan tambahan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Vivian mahu tahu perkembangan pelaksanaan projek PoP di sekolah luar bandar Sabah yang diumum Mac lepas.

PoP ialah inisiatif pemasangan hab gentian optik yang merupakan alternatif dalam memastikan jaringan dan liputan infrastruktur jalur lebar dapat diperluaskan ke kawasan sekitar sekolah dan berpenduduk bagi membolehkan ketersediaan dan kebolehcapaian liputan rangkaian 4G berada pada tahap memberangsangkan selain daripada pembinaan menara telekomunikasi dan satelit.

Baca artikel berkaitan: Pengilang diminta turunkan 10% harga minyak masak – Annuar

Sementara itu, menjawab soalan asal Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong (GPS-Hulu Rajang), Annuar berkata, sebanyak 85 tapak menara telekomunikasi siap dibina di Sarawak manakala 741 lagi kini dalam pembinaan di bawah program Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1.

Beliau berkata, bagi naik taraf stesen pemancar pula sejumlah 2,933 menara siap dinaik taraf manakala 247 lagi sedang dalam proses naik taraf di seluruh negeri Sarawak.

“Komitmen kerajaan Persekutuan untuk memastikan negeri Sarawak mendapat khidmat internet terbaik adalah jelas, sejumlah RM4.09 bilion di bawah JENDELA Fasa 1 diperuntukkan dan sedang dalam pelaksanaan,” katanya.

Annuar berkata, bagi kawasan Hulu Rajang, sebanyak 59 menara telekomunikasi sedang dalam pembinaan, manakala bagi naik taraf menara pemancar pula 38 telah siap dan 12 lagi masih dalam pelaksanaan.

Beliau berkata kesemua inisiatif masih dalam peringkat pelaksanaan dan dijangka siap secara berperingkat menjelang penghujung tahun 2023.

Sementara itu, Annuar berkata peratusan liputan 4G di kawasan berpenduduk di Sarawak meningkat kepada 84.24 peratus pada suku pertama 2022 berbanding 73.67 peratus sebelum pelaksanaan JENDELA.

— BERNAMA 

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram