SATU sesi taklimat tertutup berhubung isu tuntutan pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu akan diadakan kepada ahli Parlimen malam ini.
Perkara itu didedahkan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching dalam sidang media di Parlimen, hari ini.
Menurut Nie Ching, taklimat tersebut akan diadakan pada pukul 8.30 malam di sebuah hotel di ibu kota.
Beliau memaklumkan, semua ahli Parlimen di blok pembangkang dan Bebas telah menerima surat jemputan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengenai taklimat berkenaan.
Bagaimanapun, Nie Ching berkata beliau tidak boleh mendedahkan lebih lanjut butiran surat tersebut kerana telah dicop sebagai rahsia.
“Surat itu adalah jemputan menyatakan bahawa satu sesi taklimat tertutup akan diadakan malam ini pada pukul 8.30 malam di sebuah hotel.
“Tiga menteri akan memberi taklimat dan selepas itu ada sesi soal jawab.
“Tiga menteri tersebut adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri di JPM (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah,” katanya.
Mengulas lanjut, Nie Ching turut mempersoalkan kewajaran taklimat yang diadakan di sebuah hotel sedangkan perkara berkenaan boleh dibentang dan dibahas di Dewan Rakyat.
Baca artikel berkaitan: Dewan Rakyat kecoh usul Sulu ditolak, Yang Dipertua nafi ada konflik kepentingan
Beliau berkata, dalam usaha kerajaan mahu menjimatkan kos, mengapa dibazirkan untuk menyewa dewan di hotel bagi mengadakan taklimat sedemikian.
“Kalau kita boleh sewa dewan di hotel dan ada tiga menteri datang memberi taklimat, mengapa ahli Parlimen tak boleh bahas tentang isu ini di Dewan Rakyat?
“Mengapa tak guna platform sedia ada kerana Dewan Rakyat adalah platform terbaik untuk kita bincang dan bahas.
“Isu ini sangat besar bukan sahaja kerana ia dekat di hati rakyat di Sabah tetapi juga di Semenanjung,” jelas beliau.
Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata, keputusan Mahkamah Arbitrasi Paris untuk Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion kepada pihak mendakwa sebagai waris Sultan Sulu, adalah tidak sah kerana tidak berlandaskan undang-undang.
Beliau berkata, keputusan yang ditetapkan penimbang tara, Dr Gondoza Stampa itu sudah dibatalkan dan tidak lagi sah dari segi undang-undang.
Pada 28 Februari lalu, agensi berita Sepanyol melaporkan, Dr Stampa yang juga penimbang tara Sepanyol mengarahkan Malaysia membayar pampasan kepada pihak mendakwa sebagai waris Sultan Sulu.
Malah, Malaysia didakwa tidak membayar wang pemisah sejak 2013 dan dikatakan melanggar Perjanjian 1987 yang ditandatangani Sultan Jamal Al-Alam, Baron De Overbeck dan Alfred Dent mewakili syarikat British Utara Borneo.
Isnin lalu, Dewan Rakyat kecoh selepas Ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati mengenai usul berhubung tuntutan waris Sultan Sulu ke atas Sabah ditolak sebanyak tiga kali oleh Yang Dipertua, Tan Sri Azhar Azizan Harun.
Azhar menjelaskan, beliau menolak usul berkenaan kerana ia bersifat subjudis dan semalam, beliau berkata, perbahasan usul itu boleh mendedahkan strategi pasukan perundangan kerajaan kepada pihak musuh.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

