PERBADANAN Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital Malaysia di bawah kendalian Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) hari ini mengumumkan kesediaan menjalin kerjasama dengan penyedia platform dan pemegang taruh ekosistem e-Dagang untuk menyertai Program Perdagangan Digital Keluarga Malaysia (DE Dagang).

DE Dagang adalah lanjutan dari kempen terdahulu iaitu Kempen Go-eCommerce Onboarding dan Kempen Shop Malaysia Online di bawah Inisiatif E-Dagang Belanjawan 2021.

DE Dagang merupakan program di bawah K-KOMM dengan sokongan Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) yang akan bermula pada September hingga Disember 2022 dan bakal membantu usahawan daripada sektor khusus seperti pertanian, pelancongan, produk buatan Malaysia dan eksport SME untuk berkembang melalui penggunaan platform digital.

Selaras dengan transisi negara iaitu fasa peralihan ke endemik yang diumumkan kerajaan mulai 1 April lalu, kempen tahun ini akan memberi fokus kepada penggalakkan perbelanjaan di kedai secara fizikal dengan menggunakan platform e-Dagang dan e-Bayar, menurut kenyataan MDEC.

Justeru, MDEC menjemput Rakan Platform Digital iaitu penyedia platform tempatan dan asing untuk membiayai secara bersama kempen ini bagi membantu perniagaan tempatan.

Kempen tahun ini juga bakal menyaksikan pengenalan insentif baharu iaitu penambahbaikan sistem dan infrastruktur sokongan atau aktiviti pemasaran dan promosi yang direka khusus untuk Rakan Platform Digital tempatan.

BERITA BERKAITAN Kerjasama MDEC – UNGCMYB pacu kemampanan, tindakan iklim dalam ekonomi digital

Sehubungan itu, MDEC mengalu-alukan Rakan Sokongan daripada pelbagai Kementerian yang berkaitan, persatuan perdagangan dan agensi untuk menjalin kerjasama dan meningkatkan capaian aktiviti serta promosi kempen ini.

Pada 2021, kempen ini telah berjaya menjana jualan sebanyak RM6.45 bilion untuk perniagaan Malaysia dengan mencatatkan lebih 153.92 juta transaksi serta berjaya menjalin kerjasama dengan 27 rakan e-Dagang dan e-Bayar.

Selain itu, lebih 886,000 perniagaan tempatan juga telah menerima manfaat daripada program ini dengan 414,000 daripadanya ialah usahawan yang baharu menggunakan e-Dagang dan 279,000 daripadanya ialah usahawan wanita.

Syarikat atau organisasi yang berminat untuk menjadi Rakan Platform Digital, boleh membuat pendaftaran melalui pautan https://bit.ly/CFP-REG untuk menyertai sesi taklimat yang akan dikendalikan melalui aplikasi Zoom.

Manakala, rakan kongsi sokongan yang berminat boleh menghubungi MDEC melalui pautan https://bit.ly/stakeholder_interestform.