Mohd Azeimi Muhd Noor, atau lebih dikenali sebagai Mie Wau Sering membuat ukiran sobek (iaitu ukiran wau tradisional yang diperbuat daripada kertas), GAMBAR: BERNAMA

PENGALAMAN 38 tahun dalam seni pembuatan wau membawa Mohd Azeimi Muhd Noor, atau lebih dikenali sebagai Mie Wau Sering, terbang jauh dan mengharumkan nama Malaysia ke seantero dunia.

Mohd Azeimi, 43, telah beberapa kali memenangi pertandingan membuat wau di dalam negara selain acara persembahan Demonstrasi Terbaik di Turkiye pada 2018.

“Saya pernah bertanding di beberapa negara seperti China, Perancis, Itali, Indonesia dan Thailand mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa,” kata Penolong Pegawai Kesihatan Hospital Universiti Sains Malaysia itu kepada Bernama di Riuh X JAKM pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Kelantan yang bermula semalam dan berakhir Ahad ini.

Beliau turut mendapat jemputan serta diberi penghormatan menghasilkan Wau Bulan yang berkonsepkan gabungan dua elemen seni tradisional Malaysia dan India untuk majlis pembukaan Festival Layang-Layang Antarabangsa di Tamil Nadu pada 14 Ogos ini.

Menceritakan kisah ‘cintanya’ dengan seni pembuatan wau, Mohd Azeimi yang berasal dari Sering, Kota Bharu berkata ia bermula sejak beliau berumur lima tahun.

Ketika berusia 28 tahun, kecintaannya semakin mendalam apabila beliau dipanggil oleh Persatuan Kelab Wau Kelantan untuk mewakili negeri itu dalam Festival Layang-Layang Antarabangsa di Pasir Gudang, Johor pada 2005.

Baca artikel berkaitan: AKM Kelantan pemangkin rakyat Kelantan terlibat ekonomi digital

Mohd Azeimi berkata ‘Tumbuhan Menjalar’ adalah antara konsep paling diminati dalam kalangan pembuat wau kerana ia menggabungkan elemen tradisi.

“Saya masih kekal dengan cara pembuatan tradisional yang diturunkan oleh ayah saya (Mohd Noor Mamat) untuk membuat wau kerana cara itu sudah sebati dengan diri saya.

“Kalau diikutkan, untuk membuat ukiran sobek (iaitu ukiran wau tradisional yang diperbuat daripada kertas) ini perlu menggunakan tangan sebab ia ada beberapa lapisan… Kalau pakai mesin ukiran, ia akan lari kerana proses tebuk tampal itu perlu selari dan sebab itu, saya masih kekal mengukir pakai tangan,” katanya.

Beliau mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu untuk menyiapkan seunit wau kerana perlu membahagikan masa dengan kerjaya hakiki.

“Antara wau yang saya buat ialah Wau Bulan, Wau Kucing, Wau Jalur Budi dan kalau di Kelantan, yang terkenal ialah Wau Puyuh,” katanya sambil menambah seunit wau berukuran empat kaki (1.219 meter) dijual pada harga RM800 bergantung kepada lapisan sobek dan buluh duri yang digunakan.

Mohd Azeimi berkata beliau pernah menjual Wau Bulan pada harga RM2,500 di Perancis kerana perlu mengukir tujuh lapisan sobek untuk menghasilkannya.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram