JENAZAH Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain yang ditemukan dalam kenderaan di Sungai Api-Api di Nenasi, Pekan, Sabtu lalu masih belum boleh dituntut warisnya.
Perkara tersebut dimaklumkan adik Allahyarham, Nurul Izz Anisah Dzulkarnain, 21, dalam hantaran di media sosial.
Menurut Izz Anisah, urusan pengebumian akan diberitahu selepas urusan di hospital selesai.
Izz Anisah turut memohon orang ramai mendoakan supaya urusan tersebut dipercepat dan dipermudahkan.
“Assalamualaikum, buat masa ini jenazah arwah abang saya masih belum boleh dituntut.
“Insya-Allah, urusan pengebumian akan diberitahu kelak jika urusan di hospital selesai.
“Doakan agar urusan kami dipercepatkan dan dipermudahkan oleh-Nya,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Kisah kehilangan Muhammad Iman Aqmar pernah tular di media sosial tahun lalu selepas Izz Anisah memohon bantuan orang ramai mengesan abangnya selepas dikatakan hilang tanpa khabar.
Baca artikel berkaitan: Lelaki hilang hampir setahun ditemui maut dalam sungai
Lelaki itu bergerak dari Pasir Gudang pada pukul 1.30 pagi, 29 Oktober tahun lalu ke Terengganu dengan memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina.
Bagaimanapun, dia selepas itu gagal dihubungi keluarga serta majikannya.
Kelmarin, polis dilaporkan menemukan satu rangka manusia dalam sebuah kereta yang ditarik keluar dari Sungai Api-Api di Nenasi, Pekan yang dipercayai mayat seorang lelaki yang hilang sejak hampir 10 bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, dilaporkan berkata mayat ditemukan dalam kenderaan Nissan Grand Livina yang dijumpai seorang lelaki warga emas ketika dia mengalihkan besi dari jalan ke tepi sungai berkenaan pada 11.40 pagi.
Kenderaan itu mempunyai kerosakan pada bahagian hadapan, kiri dan kanan, selain pemeriksaan di dalamnya menemukan mayat diselaputi lumpur serta pas pekerja yang didaftarkan atas nama Muhammad Iman Aqmar.
Siasatan awal polis terhadap nombor pendaftaran kenderaan mendapati ia dikaitkan dengan laporan kehilangan dibuat di Pasir Gudang, Johor oleh ahli keluarga mangsa.
Rangka mayat itu kemudian dilaporkan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat manakala kenderaan ditarik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan bagi siasatan lanjut.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

