KERTAS siasatan membabitkan kes seorang penceramah bebas yang didakwa merogol remaja berusia 14 tahun bakal dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya, esok.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim seperti dipetik Bernama hari ini.
Menurut Azmi, pihaknya masih mengumpulkan kenyataan sebelum menyerahkan kertas siasatan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
Beliau berkata, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Ada sedikit lagi kenyataan yang perlu kita kumpul tetapi saya percaya esok kita boleh rujuk kertas siasatan ini ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Latihan Dalam Perkhidmatan Pengenalan dan Pengendalian Bot Kontinjen Kuala Lumpur.
Penceramah bebas itu yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, 18 Julai lalu kini direman di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur selama empat hari sejak Ahad lalu.
Baca artikel berkaitan: Rogol remaja 14 tahun, penceramah bebas ditahan polis
Kes itu diserahkan kepada Polis Kuala Lumpur pada 23 Julai lepas untuk siasatan lanjut berhubung kejadian rogol yang dilaporkan turut berlaku di Kuala Lumpur.
18 Julai lalu, penceramah bebas tersebut ditahan selepas disyaki merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Sasikala Devi Subramaniam berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada Sabtu lalu kira-kira pukul 11.15 malam.
Katanya, hasil siasatan mendapati, mangsa telah berkenalan dengan suspek berusia 30-an pada bulan Mei 2021.
“Difahamkan, mangsa dan suspek telah beberapa kali melakukan hubungan intim di beberapa lokasi yang berbeza selepas perkenalan tersebut,” katanya.
Sebanyak empat kertas siasatan telah dibuka iaitu dua di Selangor, satu di Kuala Lumpur dan satu di Perak melibatkan mangsa yang sama.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

