Kementerian Kewangan di Putrajaya. GAMBAR: Abd Razak Aid

OLEH: PROF. TAN SRI DR. NOOR AZLAN GHAZALI

Menteri Kewangan menyuarakan kebimbangan jumlah subsidi 2022 mungkin mencecah RM80 bilion. Tertinggi dalam sejarah, tidak mampan dan menggugat kedudukan fiskal.

Jumlah ini melebihi anggaran Perbelanjaan Pembangunan (DE) 2021 (RM71 bilion) dan hampir menyamai jumlah emolumen, gaji keseluruhan anggota perkhidmatan awam untuk setahun (RM84.5 bilion). Dalam kiraan mudah saya (andaian RM500 juta untuk membina sebuah hospital 300 katil) ia menyamai 160 buah hospital baharu!

Dalam Tinjauan Fiskal 2021, anggaran hasil kerajaan ialah RM236.9 dan Perbelanjaan Mengurus (OE) ialah 236.5 billion. Jurang Hasil-OE yang mengecil membawa maksud status fiskal tergugat. Bagi saya – status fiskal yang ‘merbahaya’.

Umpama gaji bulanan hanya cukup-cukup nak bayar belanja urusan harian; makan minum, minyak kereta, sewa rumah, belanja keluarga, bil air dan elektrik, hutang bank dan sebagainya.

Untuk menampung Perbelanjaan Pembangunan (DE), tiada pilihan, kerajaan perlu berhutang. Kalau berterusan begini, hutang semakin meningkat dan defisit fiskal semakin besar. Tidak mampan.

Subsidi dan bantuan pastinya tetap diperlukan. Tanggungjawab kerajaan memastikan nasib rakyat terbela. Namun program subsidi dan bantuan kerajaan mestilah dilaksana dengan cekap, berkesan, mencapai matlamatnya, tidak menggugat status fiskal.

Ia juga tidak mewujudkan sikap kebergantungan yang terlalu tinggi dan berpanjangan serta kelalian tingkah laku rakyat untuk bertindak balas kepada perubahan harga.

Kerajaan MESTI menstruktur semula (rasionalisasi) tatacara pemberian subsidi dan bantuan serta kaedah kawalan harga. Rakyat mesti diberi penerangan yang jelas dan tepat. Rakyat juga perlu bersedia membuat perubahan yang bersesuaian.

Kawalan harga di bawah harga pasaran atas hasrat ‘membantu rakyat’ bukan percuma. Sebagai contoh, harga pasaran RON 95 ialah RM4.70 seliter. Harga dipam ialah RM2.05 seliter. Untuk setiap liter yang diisi oleh SEMUA penduduk Malaysia, kerajaan membayar RM2.65 sen. Subsidi bahan api sahaja mencecah RM37 billion, menyamai hampir pembinaan 74 buah hospital. Semua belanja subsidi bersifat hangus.

Merasionalisasi subsidi bukan menghapus subsidi.
Sebaiknya, subsidi dan bantuan lebih bersasar mengambil kira tahap pendapatan, tanggungan dan lokasi. Mesti ada pegangan polisi untuk memperkenalkan subsidi. Ada caranya.

Proses semakan harga kawalan mesti difahami semua, semakan berjadual dan diikat pada pergerakan harga pasaran. Jihad dengan peniaga yang manipulasikan harga.

Tiada kerajaan didunia yang berupaya menidakkan kuasa pasaran sepenuhnya. Berubah dari Harga Murah kepada Harga Adil.

Penulis adalah Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif
(MINDA-UKM).

*Artikel ini dipetik daripada hantaran Facebook Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian UtusanTV.