Oleh Razak Rashid Ghows
Pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) ini dijangka akan diadakan pada suku ketiga tahun ini atau awal tahun hadapan. PRU-15 ini diadakan selepas 65 tahun negara merdeka, satu tempoh lama yang menyaksikan turun naik pemimpin bersilih ganti.
Namun di pihak kerajaan mahupun pembangkang, masih ada lagi tokoh lama yang telah terlalu lama berada di tampuk kepimpinan parti mahupun negara.
Sebilangannya mahu terus berada di tampuk kuasa dan tidak puas dengan jawatan yang dipegang untuk sekian tempoh yang lama.
Rakyat Malaysia yang muda, yang lahir selepas 1980-an pun mengenali benar nama-nama pemimpin tersebut. Ramai yang agak jemu dengan penampilan pemimpin-pemimpin ini, seolah-olah negara ketandusan tokoh yang boleh diketengahkan.
Bilakah mereka akan bersara kini menjadi teka-teki kita semua selaku pengundi.
Menjelangnya PRU-15, rakyat Malaysia terutama pengundi muda yang mengundi buat kali pertama pastinya ingin melihat penampilan tokoh politik baharu yang bakal menerajui kepimpinan negara.
Baca artikel berkaitan: Benarkah RUU anti lompat parti kerana kegagalan orang politik sendiri?
Nama besar dalam setiap parti politik seharusnya berundur dan menjadi penasihat atau bersara sepenuhnya. Tidak perlulah tunggu sehingga pilihan raya ke-16 (PRU-16) kerana ketika itu usia mereka bukan sahaja sudah lewat senja tetapi telah sampai ke penghujung malam.
Kelmarin Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi bayangan bahawa PRU-15 ini mungkin pilihan raya yang terakhir bagi beliau bertanding sebelum bersara daripada politik.
“Mungkin penggal akhir, lepas itu berehat sahajalah duduk di rumah dengan isteri, cucu-cucu, agak ramai juga, lapan orang”, beliau dipetik sebagai berkata di Kuala Terengganu Sabtu.
Beliau juga dilaporkan menyatakan kesyukurannya kerana dianugerahkan kesihatan yang baik, selepas pulih daripada kanser, dan menegaskan bahawa selagi boleh memukul bola golf sejauh 200 meter, beliau masih boleh berkhidmat kepada negara.
Pada 2018, Muhyiddin disahkan menghidap kanser pankreas tahap satu dan melalui pembedahan dan rawatan kemoterapi.
Muhyiddin adalah perdana menteri Malaysia kelapan berikutan ‘Langkah Sheraton’ yang diketuai beliau dan Azmin Ali daripada PKR.
Beliau mengambil alih pentadbiran negara dengan menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan, tetapi Ogos tahun lalu, Muhyiddin melepaskan jawatannya selepas menerima tekanan daripada Umno.
Melihat pada suasana politik negara yang tidak stabil selepas PRU-14, sewajarnya rakyat diketengahkan pemimpin baharu yang boleh meyakinkan lagi.
Lagipun kebanyakan negara kini telahpun mempunyai barisan muda di tampuk pemerintahannya.
Pemilihan perdana menteri Britain yang akan berlangsung pada September depan juga mengenengahkan dua calon yang berusia 40-an, Rishi Sunak, 42 dan Liz Truss, 47.
Justeru eloklah pemimpin-pemimpin lama ini memberi laluan kepada generasi baharu, dengan idea dan gagasan baharu dan lebih bertenaga.
Serahkan kepada parti menentukan siapa yang layak untuk diangkat sebagai pemimpin, yang berpotensi menjadi perdana menteri dan pemimpin negara.
Cukup-cukuplah fikir tentang jawatan, berilah peluang kepada orang lain!
Pada masa ini hampir semua parti politik di negara ini dipimpin oleh mereka yang telah lama berada di tampuk pemerintahan.
Selain parti Bersatu yang memerlukan barisan pengganti, Umno, Pas dan PKR adalah juga antara parti terbesar yang perlu melakukan perubahan.
Perkara inilah yang dilakukan oleh parti Konservatif di Britain. Negara kita juga memerlukan anjakan paragdima ini!
Penulis ialah mantan wartawan kanan Utusan Malaysia dan pernah menjadi Penulis Khas Berita Harian

