Ismail Sabri Yaakob bersama Nancy Pelosi yang mengadakan lawatan kerja ke negara ini hari ini. Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah./Gambar Fb Hishammuddin Hussein

MALAYSIA dan Amerika Syarikat (AS) menghargai hubungan dua hala yang telah sekian lama terjalin dan akan terus bekerjasama dalam aspek keselamatan dan kemakmuran ekonomi.  

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi berkata demikian pada majlis jamuan tengah hari sempena meraikan Pelosi yang dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia di ibu negara, Selasa.

Pelosi dan delegasi kongresnya tiba di Malaysia pada Selasa sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi ke empat negara Asia.

Ismail Sabri dalam ucapan alu-aluannya berkata kedua-dua pihak mempunyai hubungan yang baik dan menjadi rakan kongsi penting dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pelaburan, kesihatan dan pertahanan.

Perdana menteri berkata perkongsian itu terus diperkukuhkan lagi dan semakin erat susulan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS yang diadakan di Washington D.C dari 12 hingga 13 Mei baru-baru ini, sekali gus menjadikan ASEAN semakin dekat dengan AS.

Perkongsian itu terus diperkukuhkan menerusi kerjasama diplomasi vaksin menyaksikan AS telah menyumbangkan satu juta dos vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19 kepada Malaysia untuk membantu negara memerangi wabak itu.

Selain itu menerusi kerjasama pertahanan, AS telah memberi pelbagai bantuan setakat ini, termasuk geran bernilai US$200 juta, katanya.

“Seperti kita tahu, Malaysia dan AS mempunyai hubungan baik dan merupakan rakan kongsi yang penting dalam semua bidang. Dalam bidang ekonomi dari segi pelaburan AS merupakan pelabur terbesar dalam negara,” katanya ketika berucap menggunakan bahasa Melayu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Baca: Ismail Sabri bertemu Presiden Amerika Syarikat di Rumah Putih

Perdana menteri turut mengucapkan terima kasih kepada Pelosi dan delegasinya atas lawatan sulungnya ke Malaysia dalam usaha untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Sementara itu, Pelosi berkata beliau dan delegasinya bersedia untuk mempelajari lebih banyak daripada Malaysia dan bekerjasama rapat dari segi keselamatan dan kemakmuran ekonomi.

“Malaysia sangat penting. Kami telah menjalin hubungan lebih 60 tahun antara AS dan Malaysia. Kami menghargai hubungan itu,” katanya. 

Kuala Lumpur adalah persinggahan kedua Pelosi selepas melawat Singapura pada Isnin sebelum ke Korea Selatan dan Jepun. Lawatan beliau menjadi tumpuan banyak pihak yang menantikan sama ada Taiwan turut berada dalam jadual lawatannya. 

Kementerian Luar China sebelum ini menyatakan jika Pelosi melawat Taiwan, Beijing akan mengambil langkah tegas untuk melindungi kedaulatan dan integriti wilayahnya, dan AS perlu memikul tanggungjawab sepenuhnya ke atas semua kesan yang timbul daripada lawatan itu.

Selain itu, Pelosi turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun di bangunan Parlimen. 

AS menjalin hubungan diplomatik dengan Malaysia pada 1957 berikutan kemerdekaan Malaya daripada Britain.

Negara itu juga menjadi rakan perdagangan global ketiga terbesar Malaysia dan destinasi eksport, manakala Malaysia pula rakan dagang ke-17 terbesar AS.

Di sebalik cabaran dan ketidaktentuan ekonomi global akibat penularan COVID-19, jumlah dagangan antara kedua-dua negara meningkat sebanyak 21.4 peratus tahun ke tahun kepada RM217.10 bilion (US$52.37 bilion) pada 2021.

— BERNAMA