SELEPAS khabar angin mengenai kisah pergolakan rumah tangga, kini difahamkan pasangan selebriti Mizz Nina dan Noh Salleh sudah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur, Kuala Lumpur, semalam.

Perceraian mereka di bawah kod kess 055 iaitu permohonan lafaz talak dengan kebenaran mahkamah.

ARTIKEL BERKAITAN: Nafi hubungan rumah tangga bermasalah, Noh Salleh cakap korang semua kena tipu!

Memetik sumber Harian Metro, pasangan itu telah memfailkan perceraian pada 14 Jun lalu di mahkamah sama.

Terdahulu, individu yang menggunakan nama @thentang telah membuat ciapan di Twitter seolah memberi bayangan bahawa pasangan itu sudah sah bercerai.

“Makin takut nak kahwin bila dengar orang cerai-berai ni. Hari ini (semalam) pasangan selebriti yang punyalah baik depan media bercerai pula pagi tadi dekat Mahkamah Gombak Timur. Tapi berita tak ‘cover’ pula,” ciap Twitter itu.

Usaha URTV untuk mendapatkan kenyataan daripada Mizz Nina dan Noh tidak berhasil apabila mesej yang dihantar tidak dibalas.

Sementara itu menerusi kemas kini terbaharu entri Mizz Nina di Instagram, dia ada berkongsi kata-kata daripada Mufti Menk yang berbunyi,” belajar mendoakan orang lain.

“Ingat kesan riak daripada solat memang luar biasa. Apabila anda berdoa untuk orang lain, perkara yang baik datang kepada anda.

“Jadi, jangan kedekut. Mula lakukannya,” tulisnya.

Menjengah ke ruangan komen, ramai menitipkan kata-kata semangat dan mendoakan agar dia terus kuat berdepan ujian berkenaan.

Terdahulu, pada 13 Julai lalu, Noh menyangkal dakwaan perkahwinannya bersama Mizz Nina berdepan masalah.

“Entahlah tiada komen. Korang semua kena tipu…semoga berjaya (good luck),” katanya kepada URTV.

Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2 Julai 2011.

Pada April lalu, pasangan itu memperkenalkan Musa sebagai anak angkat mereka. Malah, Mizz Nina juga mendedahkan bayi lelaki itu kini mahramnya.