Pihak industri sebelum ini memohon kerajaan membenarkan kembali eksport ayam setelah terdapat lebihan bekalan. GAMBAR: Abd Razak Aid

KERAJAAN belum membuat keputusan untuk mengubah sebarang peraturan berkenaan sekatan eksport ayam yang diumumkan pada 1 Jun lepas, kata Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa.

Justeru Annuar berkata dasar harga ayam ketika ini adalah kekal untuk memastikan harga ayam rendah dan keutamaan bekalan kepada rakyat tempatan kerana ia merupakan barangan keperluan bagi setiap keluarga di negara ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa. GAMBAR: Abd Razak Aid

“Kita dapat banyak pandangan dan pemakluman awal tentang kononnya dapat lebihan bekalan ayam dan ada pengharapan dizahirkan kepada jawatankuasa untuk memohon kebenaran mengeksport ayam ke luar negara.

“Saya nak jelaskan mekanisme mengawal tahap kedudukan bekalan tidak boleh dibuat secara bolak-balik. Kita perlukan masa untuk memastikan semua bekalan ayam dalam negara serta barangan lain, mesti terkawal.

“Adalah penting jawatankuasa dapat pantau secara menyeluruh keseluruhan rantaian bekalan yang berkaitan dengan bekalan ayam, sama ada bekalan ayam yang mula dibenar bawa masuk, ayam yang mula diternak dan ayam yang dikeluarkan dan kita akan lihat sejauh mana dakwaan menyatakan bekalan sekarang adalah berlebihan,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa itu di bangunan Parlimen hari ini. 

Baca: Peniaga patuh, 17 peratus jual di bawah harga maksimum – Annuar

Kerajaan henti eksport 3.6 juta ayam hingga harga, bekalan stabil – PM

Annuar berkata kerajaan menyedari faktor penurunan harga adalah berasaskan kepada bekalan yang cukup dan lebih daripada mencukupi, namun beliau khuatir terdapat pihak yang mengambil peluang mengeksport ayam disebabkan harga bekalan itu yang mahal di negara lain sehingga menjejaskan harga bekalan tempatan. 

Annuar berkata jawatankuasa turut membincangkan penemuan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenai lima syarikat berkaitan bekalan ayam yang dikesan melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 dengan terbabit perjanjian antipersaingan atau lebih dikenali sebagai perjanjian kartel.

Beliau berkata memandangkan penemuan MyCC itu adalah siasatan awal, lima perusahaan itu kini mempunyai peluang mengemukakan representasi dalam tempoh 30 hari daripada tarikh keputusan cadangan itu disampaikan kepada mereka.

“Kita ingin ingatkan pengusaha tidak mengamalkan sebarang tindakan yang melibatkan pakatan untuk menetapkan harga dan melanggar peraturan persaingan bebas kerana ia boleh jejaskan harga kerana dikawal oleh satu kelompok peniaga yang menguasai pasaran dan itu tidak dibenarkan oleh undang-undang negara kita,” katanya.

— BERNAMA