ISU melibatkan kapal tempur pesisir (LCS) yang mencetuskan kontroversi selepas laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menjadi perhatian umum.
Bagaimanapun, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berharap kapal pertama daripada enam LCS yang dirancang itu dijangka dapat disiapkan dalam tempoh satu hingga dua tahun lagi.
Pada masa sama, Hishammuddin turut memberi jaminan akan memaklumkan laporan tahap penyiapan projek tersebut untuk memastikan kapal tersebut dapat dibekalkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengikut jadual.
Menurut beliau, Kabinet telah memberikan tempoh enam bulan untuk kementeriannya memobilisasikan usaha menghidupkan semula projek berkenaan.
“Kita diberikan enam bulan selepas keputusan Kabinet untuk memobilisasikan usaha untuk menghidupkan semula projek ini.
“Ia melibatkan libat urus dengan vendor di Perancis dan agensi perbankan.
“Untuk Dewan ini, saya boleh nyatakan sekurang-kurangnya dalam setahun dua ini saya harap kapal pertama dapat kita siapkan.
“Saya akan laporkan kepada orang ramai jadual berperingkat-peringkat, kapal-kapal yang telah dijanjikan kepada TLDM dan saya akan maklumkan kepada Kabinet apa yang telah kita lakukan untuk memastikan ia mengikut apa yang kita jadualkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Razali Idris yang mahu tahu jangka masa kapal tersebut dapat disiapkan dalam Sidang Dewan Negara, hari ini.
Baca artikel berkaitan: Ahmad Zahid kata tak wajar beliau dikaitkan kegagalan kapal LCS
Mengulas lanjut, Hishammuddin menjelaskan projek tersebut perlu diteruskan bersandarkan kepada keperluan TLDM dan berkait rapat dengan perancangan 15 to 5 TLDM.
Berhubung isu dakwaan salah guna kuasa membabitkan projek berkenaan, Hishammuddin menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil tindakan lanjut.
“Perancangan kita ke depan, dalam masa tiga hingga enam bulan saya akan laporkan kepada Kabinet apa yang sedang rancak berjalan.
“Saya juga kecewa, ramai kecewa tetapi kita mesti lihat ke hadapan dan mencari keadilan.
“Pastikan kapal dapat dibekalkan kepada TLDM dan mencari jalan terbaik untuk memastikan ia tidak berulang pada masa depan,” jelas beliau.
Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam kapal LCS bagi kegunaan TLDM bernilai RM9 bilion.
Melalui laporan PAC itu, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.
PAC dalam laporannya berhubung projek itu turut memaklumkan kajian daya maju (due diligence) yang dilakukan kerajaan terhadap syarikat BNS untuk pembinaan lima kapal LCS TLDM gagal mengesan masalah kewangan syarikat itu.
Ia dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

