RANG Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 melibatkan larangan ahli Parlimen bertukar parti tidak akan terpakai kepada ahli Dewan Negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara berkenaan dipersetujui Jawatankuasa Pilihan Khas selepas mengambil kira beberapa aspek.
Menurut beliau, antara aspek yang diteliti termasuk ahli Dewan Negara dibahagikan kepada dua kategori yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan dipilih oleh negeri berdasarkan keahlian sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mewakili parti politik masing-masing.
Oleh yang demikian, Perdana Menteri berkata, peruntukan larangan bertukar parti itu tidak terpakai mengambil kira beberapa aspek penting isu perundangan di peringkat negeri.
Katanya, ia juga memerlukan perundingan dan perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk ahli Dewan negara yang dilantik Seri Paduka.
“Ahli Dewan Negara dan semua pihak yang berkepentingan sewajarnya dirundingi terlebih dahulu sebelum isu pemakaian undang-undang mengenai larangan bertukar parti ke atas ahli Dewan Negara diputuskan.
“Sokongan ahli Dewan Rakyat kepada mana-mana parti politik atau gabungan parti politik boleh memberi implikasi kepada perubahan kerajaan dan kestabilan politik.
“Oleh itu, adalah lebih wajar undang-undang mengenai larangan bertukar parti hanya terpakai ke atas ahli Dewan Rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan RUU Perlembagaan (Pindaan)(No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti di Dewan Negara, hari ini.
Baca artikel berkaitan: Selepas dibahas 12 Ahli Parlimen, RUU kawal rokok dirujuk ke J’kuasa Pilihan Khas
RUU ini akan dibahaskan Ahli-ahli Dewan Negara sebelum digulung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dijadual jam 3 petang ini.
RUU berkenaan diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat pada 28 Julai lalu dan kini menanti kelulusan Dewan Negara sebelum proses pewartaan undang-undang dapat dilaksanakan.
Pada 28 Julai lepas, Dewan Rakyat meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti atau lebih sinonim dengan istilah “lompat parti” dengan mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli dewan.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri menegaskan dan mengulangi komitmen kerajaan bahawa penggubalan RUU itu bertujuan memastikan kestabilan politik dan mengelakkan negara terus berdepan krisis yang tiada berkesudahan.
Jelas beliau, pindaan itu juga memberikan mesej jelas kepada setiap ahli Dewan Rakyat supaya berpegang kepada prinsip parti yang diwakili untuk melindungi mandat rakyat yang telah memberi undi serta kepercayaan tinggi ketika proses pilihan raya.
“Selain itu, saya yakin RUU ini juga mampu menghentikan tindakan mana-mana pihak yang dipilih dan dilantik daripada bertukar parti tanpa sebab kukuh atau alasan munasabah sekali gus memastikan kestabilan politik negara untuk suatu jangka masa panjang.
“Penggubalan RUU ini telah mengambil masa hampir setahun dengan proses penggubalannya bukanlah mudah kerana membabitkan masa, tenaga dan komitmen semua pihak iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara serta Parlimen,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

