SATU sindiket yang menganjurkan kegiatan penipuan tawaran kerja dalam talian tumpas selepas polis menyerbu sebuah premis di Jalan Ceylon, Kuala Lumpur yang dijadikan ‘calling center’ (pusat panggilan), semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 5.25 petang oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, seramai enam anggota sindiket warga tempatan termasuk seorang wanita ditahan
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, bertindak atas maklumat ke atas premis yang beroperasi sebagai ‘calling centre’, pihaknya menyerbu sebuah premis di Jalan Ceylon.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati sindiket ini telah beroperasi selama hampir sebulan.
“Hasil serbuan ini, polis menahan enam individu warganegara tempatan berumur antara 19 tahun hingga 26 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penipuan tawaran kerja dalam talian dengan premis dijadikan tempat pengoperasian calling centre,” katanya dalam satu kenyaatan.
Mengulas lanjut, Noor Dellhan berkata, turut dirampas dalam serbuan itu ialah 29 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 5 komputer pelbagai jenama, 5 CPU, 5 papan kekunci, 5 tetikus dan satu komputer riba.
Kesemua tangkapan katanya ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga 12 Ogos bagi tujuan siasatan lanjut.
“Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak terpedaya serta menjadi mangsa ke atas jenayah ini ” tambahnya.

