Pasukan peguam baharu Najib tarik diri jika rayuan diteruskan 15 Ogos

Dari Penulis

PASUKAN peguam yang baru dilantik mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak bagi rayuan terakhir dalam kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd, hari ini memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa mereka akan menarik diri sekiranya mahkamah tetap akan terus mendengar rayuan itu minggu depan.

Media difahamkan peguam daripada Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) dan Tetuan Hisyam Teh, tidak bersedia untuk meneruskan rayuan berkenaan kerana ia melibatkan isu penting dan memerlukan masa untuk persediaan kerana ia bukan rayuan biasa.

Oleh itu, jika mahkamah tetap mahu prosiding rayuan utama diteruskan pada Isnin ini, peguam terlibat tidak mempunyai pilihan selain menarik diri daripada mewakili bekas perdana menteri itu.

Difahamkan, perkara itu dimaklumkan kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Wan Fatimah Zahara Wan Yusoff dan Siti Hajar Mustaffa semasa pengurusan kes di hadapan mereka yang dijalankan secara dalam talian hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V.Sithambaram dan Mohd Ashrof Adrin Kamarul bertindak bagi pihak responden (Pendakwa Raya) manakala peguam Hisyam Teh Poh Teik, Liew Teck Huat dan M.Rueben mewakili Najib (perayu).

Pada 26 Julai, Najib telah memberhentikan dengan serta-merta Tetuan Shafee & Co daripada bertindak sebagai peguam yang mewakilinya dalam rayuan sabitan dan hukuman membabitkan RM42 juta dana SRC International. Bagaimanapun, Najib berkata bekas peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan terus bertindak sebagai peguam cara dalam kes lain yang dihadapinya di mahkamah.

Najib kemudian melantik Hisyam daripada Tetuan Hisyam Teh sebagai peguam utamanya manakala rakan kongsi ZIST, Liew dan Rueben sebagai peguam baharunya.

Baca artikel berkaitan: Kes SRC: Tetuan Shafee & Co diberhentikan daripada wakili Najib, ZIST dilantik peguam baharu

Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari mulai 15 Ogos untuk mendengar rayuan terakhir Ahli Parlimen Pekan itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara atas penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Hari ini, media juga dimaklumkan bahawa pendengaran usul untuk mengemukakan bukti baharu akan didengar terlebih dahulu pada Isnin dan jika usul itu ditolak, mahkamah akan terus mendengar rayuan utama.

Bagaimanapun, media diberitahu bahawa peguam Najib akan membuat permohonan lisan di mahkamah untuk menangguhkan rayuan utama selepas selesai hujah bagi usul bagi memasukkan bukti baharu dan menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

Pada Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapatinya bersalah menyalahgunakan RM42 juta daripada dana SRC.

Kes itu di peringkat rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan pada tahun lepas, mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan bekas perdana menteri itu.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Anwar mohon maaf tak dapat hadir majlis penghormatan terakhir Ayatollah Ali Khamenei

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Iran atas pemergian Allahyarham...

More Articles Like This