Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin. GAMBAR: Abd Razak Aid

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan menyediakan portal aduan buli pada minggu hadapan sebagai usaha menambah baik pendekatan memerangi kes buli di sekolah, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata ibu bapa dan guru boleh membuat laporan mengenai kes buli di sekolah menerusi tiga kaedah iaitu panggilan telefon, e-mel dan dalam sistem portal itu sendiri.

“Kalau ada kecemasan berkaitan dengan buli ini dan ada mesej yang hendak disampaikan secara sulit, ada platform (portal) yang jelas untuk mereka sampaikan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Showcase Transformasi Pendidikan di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu buli yang dilaporkan berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan, namun tidak dapat memberikan komen secara langsung memandangkan MRSM berada di bawah bidang kuasa kementerian lain.

Baca: Bekas KP Pendidikan ketuai jawatankuasa khas isu buli, gangguan seksual

Radzi berkata KPM komited dalam usaha meminimumkan insiden buli di sekolah melalui beberapa tindakan holistik termasuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi melihat konteks penambahbaikan dalam tatacara dan panduan sedia ada berkaitan buli di sekolah. 

Radzi berkata KPM juga akan melancarkan program Sekolahku Sejahtera, Sepakat dan Selamat dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri bagi mewujudkan persekitaran selamat di sekolah.

Dr Radzi Jidin bersama Guru Pewaris Negara dan kariah Surau Al-Manar, Presint 14 dalam majlis Jom Kacau Bubur Asyura di Surau Al-Manar, Putrajaya. Hadir sama, Datuk Seri Jamil Salleh yang juga Pengerusi Surau Al-Manar./Gambar Fb Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata konsep Sekolahku Sejahtera yang sedang dipraktikkan turut menekankan elemen jati diri pelajar supaya mereka dapat membuat keputusan rasional selain penerapan nilai empati bagi mengelak diri daripada terlibat gejala buli.

“Kita boleh ada macam-macam pemantauan tetapi kalau jiwa dan pemikiran anak-anak masih belum jelas, tindakan mereka itu akan membawa kepada kes-kes buli,” katanya.

Terdahulu ketika sesi interaksi santai bersama pelajar dan ibu bapa di program Showcase Transformasi Pendidikan, Radzi berkata KPM telah melaksanakan pelbagai transformasi dalam bidang pendidikan bagi melahirkan pelajar yang mampu bersaing di peringkat dunia.

Menurutnya setiap keputusan atau dasar baharu KPM termasuk mengenai pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tidak dibuat secara terburu-buru.

“Tidak pernah ada sebarang keputusan yang kementerian buat secara tiba-tiba. Setiap keputusan dianalisis satu persatu dan dibuat penelitian mendalam,” katanya.

Beliau berkata secara umumnya, masyarakat terlalu fokus kepada peperiksaan dan tidak mengutamakan kemenjadian murid secara keseluruhannya.

Showcase Transformasi Pendidikan berlangsung selama tiga hari bermula semalam di pusat beli-belah Alamanda di sini yang antara lain memaparkan inovasi dan pencapaian murid dan guru, perkembangan pendidikan digital dan aplikasi sistem yang memudahkan pengurusan pendidikan.

Turut berlangsung sebaran maklumat oleh Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Bahagian Matrikulasi, Pra Sekolah, Tingkatan Enam, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV), Bahagian Pendidikan Khas dan GENIUS dan persembahan kesenian dan kebudayaan sekolah yang telah menempah nama di peringkat antarabangsa dan kebangsaan.

— BERNAMA