Kapal LCS sedang dalam proses pembinaan di Lumut, Perak. GAMBAR: Facebook Hishammuddin

SEORANG bekas pegawai kanan syarikat perkapalan Boustead Naval Shipyard (BNS) akan didakwa di mahkamah esok berhubung kes pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menurut sumber, lelaki yang berusia hampir 80 tahun itu akan didakwa pagi esok di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan membabitkan kesalahan pecah amanah.

Isu pembinaan kapal tempur itu menarik perhatian ramai selepas Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya mendedahkan kerajaan telah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada BNS tetapi sehingga kini tiada sebuah pun kapal yang siap.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, mendedahkan lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama daripada projek kapal peronda lama.

SPRM kemudian menerima laporan berhubung projek LCS susulan kegagalan pihak terbabit menyerahkan kapal tersebut mengikut tempoh ditetapkan.

Mengikut kontrak asal yang ditandatangani pada 2014, TLDM sepatutnya menerima LCS pertama pada April 2019 setelah membuat bayaran lebih RM6 bilion.

BERITA BERKAITAN Isu LCS: AGC akan buat keputusan secepat mungkin

SPRM sebelum ini menyatakan telah melengkapkan siasatan terhadap beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan dakwaan penyelewengan projek LCS dan kertas siasatan telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Katanya, SPRM turut menyarankan kepada AGC untuk mempertimbangkan pertuduhan terhadap beberapa individu.

“SPRM akan menerima arahan lanjut hasil daripada kajian AGC terhadap kertas siasatan tersebut,” katanya dalam kenyataan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum itu meminta SPRM menyegerakan siasatan berhubung isu LCS yang hangat diperkatakan.

Perkara tersebut dibincang secara terperinci dan diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Sekiranya terdapat bukti kukuh, Perdana Menteri menegaskan Peguam Negara perlu membuat pendakwaan dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram