RANG Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) No. 3 2022 Pindaan mengenai Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti akan dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam masa terdekat bagi mendapat perkenan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata selepas mendapat perkenan, rang undang-undang itu akan digazetkan pelaksanaannya mengikut garis masa yang disasarkan iaitu minggu pertama September.

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong perlu memberi perkenannya sebanyak dua kali sebelum rang undang-undang itu digazetkan.

“Selepas diperkenankan nanti, rang undang-undang itu akan dikembalikan semula kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk diformat sekali lagi, bagi dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sekali lagi,” katanya dalam sidang media hari ini.

Katanya, selepas itu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membuat pemakluman melalui surat kepada semua menteri besar dan ketua menteri untuk mengesyorkan kepada semua negeri mengenai pindaan terhadap Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.

Baca artikel berkaitan: RUU Lompat Parti: Jabatan Peguam Negara dapatkan perkenan Agong

Wan Junaidi berkata ia akan yang membolehkan semua Dewan Undangan Negeri meminda Perlembagaan Negeri masing-masing dengan memasukkan peruntukan larangan bertukar parti agar selaras dengan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Kita nak dia (negeri) ikut format kita itu, Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan yang kita pinda bersama itu, supaya Persekutuan dan pihak negeri, undang-undangnya sama.

“Kita takut kalau ada perbezaan daripada sudut perkataan, garis panduan yang disebut di undang-undang itu nanti, akan mendatangkan konflik di antara undang-undang Persekutun dan negeri,” katanya.

Wan Junaidi berkata sesi libat urus dengan negeri-negeri akan diadakan bagi tujuan penyeragaman dengan undang-undang Persekutuan di bawah Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan.

Pada 28 Julai lepas, pindaan Rang Undang-undang Perlembagaan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Parlimen bertukar parti telah diluluskan dengan mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli dewan di Dewan Rakyat.

Pada 9 Ogos, Rang Undang-undang berkenaan turut diluluskan di Dewan Negara selepas memperoleh sokongan 52 daripada 60 senator selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan, iaitu lebih dua pertiga persetujuan Ahli Dewan Negara.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram