EMPAT figura hebat, Datuk Awie, Ella, Muss May dan pemain gitar legenda, Man Kidal yang memperjuangkan nuansa rock sejak 40 tahun lalu bakal disatukan di pentas konsert Rock On 40: The Legends, Disember depan.

Konsert yang dianggarkan bernilai setengah juta itu direalisasikan Menara Network Sdn Bhd (MNSB) selaku penganjur dan mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Menurut wakil penganjur, Aman Ali, konsert yang bakal dipentaskan pada 2 dan 3 Disember depan di Panggung Sari, Istana Budaya itu bakal menelusuri revolusi rock dari era 80-an hingga masa kini.

“Konsert ini dicetuskan sejak Februari lalu dengan mengusulkannya kepada pihak Istana Budaya. Kemudian sekitar April, proses membentangkan kertas kerja dilakukan dan seterusnya mendapat lampu hijau.

“Pemilihan empat figura ini tak dapat diragui lagi kerana masing-masing mempunyai signifikan terhadap kembara dan perkembangan genre rock sejak empat dekad lalu.

“Masing-masing ada kelompok peminat dan mencetuskan evolusi rock di era mereka. Istimewanya persembahan ini diiringi susunan muzik Ritz Metalasia,” kata Aman.

Aman berkata, setiap artis akan mempersembahkan lagu hits mereka dan sekali gus melengkapi prestij premis acara terletak di Jalan Tun Razak itu.

“Konsert ini bersifat sambutan ulang tahun genre rock yang selama ini menjadi antara nuansa hiburan rakyat di negara kita.

“Malah kita sebenarnya juga mengambil ‘risiko’ kerana tidak mahu terus selesa dengan kemampuan dan kelebihan dimiliki premis popular itu.

“Justeru, kita menambah baik 200 peratus lagi pelbagai aspek termasuk sistem bunyi bagi melengkapi apa yang sudah sedia ada di premis terbabit,” kata Aman.

Ella

Aman menambah, pihaknya optimis dengan legasi empat figura yang ditampilkan.

“Mereka umpama tidak dimamah usia kerana terus bernyawa menghiburkan kelompok penggemar masing-masing terutamanya yang mengagumi irama rock.

“Malah sejak tiket yang berharga antara RM288 hingga RM888 mula dijual, peminat rock yang dahagakan konsert genre itu, sebagai contoh kelab peminat Wings dan Awie, Sayap-Sayap Wings yang ditubuhkan sejak 2008 mula membeli tiket,” katanya.

Sementara itu, Awie begitu teruja apabila dapat berkongsi pentas dengan Ella, Mus dan Man Kidal.

Awie

“Cuma saya mahu suarakan input dan idea lagu yang bakal dipersembahkan kelak tidak hanya terbatas dalam ruang lingkup lagu sendiri sahaja.

“Kenapa tidak kami berikan ‘tribute’ dan penghargaan kepada legenda rock lain. Sebagai contoh Sweet Charity, Search, Lefthanded dan sebagainya.

“Meraikan kembara rock ini tentunya lebih bermakna jika ada ‘tribute’ kepada otai rock lain,” kata Awie.

Penyanyi lagu Di Penjara Janji itu juga berbangga dan teruja kerana inisiatif dilakukan penganjur ini sedikit sebanyak membuktikan istilah atau tagline ‘rock never dies’ itu kekal relevan.

“Kerancakan konsert demi konsert sejak negara menuju ke fasa endemik April lalu kian rancak. Malah mendapat sambutan dengan jualan tiket laku keras.

“Semoga konsert ini dipermudahkan dan bakal terus menyemarakkan semangat peminat yang meminati rock sejak sekian dulu,” ujarnya.

Sementara itu, Muss atau nama sebenarnya Mustaffa Din berkata dia dan artis lain masih belum berbincang mengenai persiapan dan perjalanan konsert.

Muss

“Secara rawak kita tahu apa yang akan berlaku sepanjang konsert itu. Berkemungkinan, saya akan menyanyikan empat atau lima lagu dalam tempoh setengah jam.

“Saya tidak canggung kerana sudah pernah bekerjasama dengan Awie, Ella dan Man Kidal. Cuma bezanya persembahan ini bukan dengan band yang ada dinamik tersendiri.

“Saya pun sedikit demi sedikit sudah membuat persiapan fizikal seperti berjoging demi stamina. Cuma apabila sudah berusia ini, persiapan itu tidaklah seperti masa 10 atau 20 tahun lalu. Akhirnya ia dibantu pengalaman dan kuasa Tuhan,” kata Muss.

Sementara itu, Man Kidal turut mengakui bahawa persiapan untuk ke arah konsert tersebut masih belum bermula.

Man Kidal

“Gambaran aliran persembahan itu sudah nampak. Tak semestinya main lagu sendiri saja. Susunan lagu untuk konsert ini pun pasti ditukar. Saya tak buat benda sama,” kata Man Kidal.

Untuk pembelian tiket konsert boleh ke Instagram (IG) @menaranetwork. Tiket dijual pada kadar harga RM288 hingga RM888.