SEJAK diperkenalkan pada 15 Disember 2021, Sistem Pengurusan dan Pemantauan Industri Kreatif (SPPIK) yang dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu mendapat respons yang amat mengalakkan oleh penggiat industri kreatif tempatan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr. Md. Nasir Ibrahim, urusan untuk permohonan lesen melalui kaedah atas talian seperti SPPIK dilihat efektif selaras dengan kemajuan teknologi pendigitalan.

Dr Mohd Nasir Ibrahim

“Sambutan daripada penggiat industri amat baik. Walau bagaimanapun, FINAS akan sentiasa menambah baik dan meningkatkan perkhidmatan serta modul sistem SPPIK.

“Antara penambahbaikan yang akan diperkenalkan FINAS ke atas sistem ini adalah integrasi antara agensi yang berkaitan. Contohnya, Lembaga Penapisan Filem, Imigresen, Kastam dan lain-lain agensi yang berkaitan,” katanya kepada UtusanTV.

Tambah Md. Nasir lagi, SPPIK adalah hasil usaha FINAS yang memberi saluran mudah kepada penggiat industri untuk membuat urusan tanpa perlu hadir ke pejabat. Katanya lagi, kesan yang dapat dilihat sejak SPPIK diwujudkan ialah apabila pandemik Covid-19 menular di negara ini hingga membataskan urusan harian.

“Kesan ketara pelaksanaan sistem ini ialah memudahkan perkhidmatan kepada pelanggan, contohnya, semasa tempoh penularan Covid-19 dalam negara, pelanggan tidak perlu hadir ke FINAS untuk apa-apa permohonan berkaitan dan semuanya dilakukan secara dalam talian. Ini juga menjimatkan kos dan risiko keselamatan kepada pelanggan.

BERITA BERKAITAN Finas hasrat jadikan Malaysia lokasi wajib pembikin filem antarabangsa

“Ia memudahkan urusan permohonan dan pembaharuan lesen FINAS secara atas talian. Sistem ini juga akan diperluaskan kepada permohonan dana-dana FINAS, penyertaan bengkel latihan malah sumber data industri untuk dimanfaatkan oleh pengguna SPPIK.

“Sesuai dengan fungsi SPPIK yang dibangunkan untuk mempercepatkan proses permohonan, semakan serta perkhidmatan pembayaran secara atas talian. Sistem ini juga mampu untuk menjana pangkalan data yang lengkap dan bersistematik,” ujarnya.

Perkhidmatan yang disediakan secara online melalui SPPIK termasuk permohonan lesen baharu, pembaharuan lesen merangkumi lesen pengeluaran, pengedaran dan pemameran, permohonan Surat Perakuan Penggambaran (SPP), permohonan Sijil Akuan Filem Buatan Malaysia (MIM), permohonan Bayaran Filem Asing (BFA) dan permohonan Surat Sokongan Kemasukan Pekerja  Filem Asing.

Di samping itu juga, melalui SPPIK permohonan pertukaran alamat dan permohonan tuntutan balik deposit juga boleh dimohon secara online. “Setiap syarikat yang terlibat dalam aktiviti pengeluaran, pengedaran dan pemameran filem adalah wajib untuk berdaftar dengan SPPIK.

“SPPIK merangkumi lima modul tahap keselematan yang menggunakan aplikasi bagi menambah baik integriti data sedia ada iaitu  Pelesenan, Penguatkuasaan, Pengurusan Dana, Pembangunan Tenaga Kreatif dan Pengurusan Kemahiran Tenaga Kreatif.

“Setiap modul ini mempunyai kriteria tapisan tersendiri yang dikawal oleh urusetia pemilik modul bagi mengambil kira sesuatu permohonan itu boleh diterima atau tidak.

“Kriteria ini telah ditetapkan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa yang ditubuhkan urusetia. Hasil saringan dalam sistem melalui kriteria ini akan menentukan permohonan diterima atau tidak.

“Maka tiada campur tangan individu untuk mengubah permohonan atau sebarang ketirisan dalam pengurusan permohonan. Pemohon juga boleh menerima status perkembangan permohonan mereka secara terus daripada SPPIK,” jelasnya.

Setakat ini sebanyak 3,479 pengguna telah menggunakan perkhidmatan SPPIK sejak ia digunakankan pada hujung tahun lepas. SPPIK boleh dilayari melalui www://sppik.finas.my

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram