Tangkap layar murid berusia 11 tahun dilanggar motosikal ketika melintas jalan.

SEORANG murid berusia 11 tahun cedera di kepala dirempuh sebuah motosikal ketika melintas jalan di hadapan Sekolah Kebangsaan Koris, Senggarang, pukul 7 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, mangsa kini masih dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat akibat kecederaan yang dialami.

Katanya, kejadian berlaku ketika murid tersebut sedang melintas jalan dari kiri ke kanan menggunakan lintasan pejalan kaki sebelum dirempuh sebuah motosikal ditunggangi lelaki berusia 29 tahun.

“Selepas merempuh murid tersebut, motosikal itu kemudian bergesel pada bahagian kiri sebuah kereta yang berhenti untuk membelok ke kanan,” katanya ketika dihubungi UtusanTV.

Baca artikel berkaitan: Gaduh, toreh muka kerana tidak mahu bayar ganti rugi

Ujarnya, kes di siasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu tular satu rakaman kemalangan membabitkan seorang murid ingin melintas jalan di hadapan sekolah.

Murid tersebut dilihat melintas jalan selepas pengawal keselamatan sekolah terbabit memberikan tanda isyarat supaya dia berbuat demikian memandangkan trafik pelahan ketika itu.

Namun, secara tiba-tiba murid itu dirempuh sebuah motosikal yang dipercayai dipandu laju ketika melalui kawasan sekolah berkenaan.

Rata-rata netizen mempertikaikan tindakan penunggang motosikal yang menunggang dengan kelajuan tinggi ketika melalui kawasan sekolah.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram