PENGACARA dan pelakon Uyaina Arshad berkongsi berita sedih mengenai abang sulungnya, Mohd. Attaful Uzair Arshad,35, yang meninggal dunia akibat serangan jantung, malam tadi.

Pemergian abangnya itu memberi tamparan hebat buat keluarganya kerana selama ini arwah merupakan tulang belakang untuk ibu serta adik-beradik selepas bapanya meninggal dunia.

Malah, Uyaina juga tidak pernah menyangka arwah yang bekerja sebagai seorang doktor di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur itu akan menghembuskan nafas terakhirnya pada usia muda.

“Pulangnya abang sulungku ke negeri abadi bertemu sang pencipta. Orang baik selalu perg dulu.

“Dia tersangat baik. Terlalu baik. Anak yang baik. Abang yang baik. Suami yang baik dan ayah yang baik.

“Lepas arwah Baba (bapa) meninggal, dia jadi ketua keluarga. Dari kecil lagi dia dah sudah menjadi contoh yang baik untuk kami adik-beradik.

“Dia masuk asrama, kami semua nak masuk asrama. Dia berjaya dalam pelajaran, kami semua nak berjaya dalam pelajaran. Dia selalu dahulukan Ummi (ibu). Kami adik beradik berebut nak berbakti untuk Ummi. Dia baik, pemurah dan penyayang,” tulisnya di Instagram.

Lebih meyedihkan apabila mereka sempat bertemu dan makan bersama, semalam.

“Baru saja semalam kami berjumpa…makan sama-sama, bersembang macam-macam. Gelak sama-sama…macam-macam juga dia pesan.

“Dia risau adiknya nak bersalin. Rupa-rupanya dia yang pergi dulu. Rasa tak percaya dia dah tak ada. Terlalu awal dia pergi, sama usia dengan arwah Baba sewaktu meninggal dunia.

“Rasa terlalu perit dan sakit nak diungkap dengan kata-kata. Kehilangan seorang insan yang terlalu baik. Kehilangan darah daging yang terlalu kami sayang,” luahnya lagi.

Lebih memilukan apabila hari ini merupakan ulang tahun kelahiran ibu mereka.

“Hari ini, 19 Ogos adalah hari jadi Ummi. Lama dia nak plan nak sambut birthday Ummi. Akhirnya, hari lahir Ummi diiringi dengan pemergian anak sulugnya. Allahuakbar.

“Abangku Uzair, semoga syurga menantimu,” jelasnya.