Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. GAMBAR: BERNAMA

PELAKSANAAN Tabika Kemas merupakan antara kisah kejayaan kerajaan kerana ramai yang berjaya hari ini, termasuk pemimpin mula mendapat pendidikan awal di pusat bimbingan kanak-kanak tersebut.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata disebabkan itu, kerajaan sentiasa menyokong pembangunan pendidikan Tabika Kemas, bagi memastikan kanak-kanak di situ dapat belajar dalam situasi yang selesa.

“Kemas merupakan salah satu cerita kejayaan kerajaan. Ramai yang berjaya pada hari ini… yang menjadi pemimpin pada asalnya mendapat pendidikan awal di Tabika Kemas terutamanya mereka yang berasal dari luar bandar,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Jom Masuk Kampung dan Hari Potensi Kemas Daerah Bera 2022 di Felda Triang 3 di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Datuk Ramlan Harun, Ketua Pengarah Kemas Datuk Mohamad Yasid Bidin serta Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Seri Norolazali Sulaiman.

Baca artikel berkaitan: Netizen terkilan lihat Syamsul Yusof & Kazar sibuk pilih barang kemas, seolah-olah sedang cabar Puteri Sarah!

Sebagai contoh, Ismail Sabri merujuk kepada peruntukan khas bagi Program Bantuan Makanan Tambahan (PMBT) kepada kanak-kanak tabika dan taska Kemas seluruh negara, yang mana RM140 juta disediakan pada tahun ini, untuk dimanfaatkan 225,281 murid tabika dan 9,716 kanak-kanak taska.

Di Pahang, Ismail Sabri berkata Kemas secara keseluruhannya menerima peruntukan sebanyak RM2.36 juta merangkumi peruntukan pembangunan dalam bidang kemahiran, pembangunan komuniti dan pendidikan awal kanak-kanak.

Menyentuh daerah Bera, beliau berkata empat premis tabika Kemas yang terjejas banjir awal tahun ini, selesai dibaiki, dengan peruntukan hampir RM150,000 selain kerajaan sedang mengkaji cadangan membina Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) Bera dan menaik taraf Pusat Komuniti Kemas kepada Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) Kemas Bera dengan kos RM18.927 juta.

Cadangan itu akan dilaksanakan di bawah Rancangan Boleh Pinda ketiga tahun hadapan, dan kewujudan pusat tersebut diharapkan dapat menyediakan kemudahan tempat dan penginapan kepada peserta aktiviti Kemas.

Dalam ucapan itu, Ismail Sabri juga menegaskan bahawa pendidikan merupakan agenda utama kerajaan dan menjadi aspek paling dititikberatkan beliau sejak menjadi Ahli Parlimen Bera pada tahun 2004, kerana pendidikan awal merupakan permulaan kepada kejayaan yang lebih tinggi.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram