PENANTIAN yang berbaloi! Penyanyi Indonesia, Rizky Febian buat pertama kalinya akan memperdengarkan karyanya secara langsung di Malaysia.
Dibawakan oleh The Jay Events & Media, konsert solo itu diberi judul Rizky Febian Live In Kuala Lumpur.
Ia dijadual berlangsung pada 20 Oktober di Zepp Kuala Lumpur, pukul 8.30 malam.
Sebagai pemuzik dan penulis karya miliknya, pasti peminat tidak sabar untuk bertentang mata sekaligus menikmati lantunan vokal penyanyi berusia 24 tahun ini.
Bayangkan Kesempurnaan Cinta yang menjadi hit pertamanya pada tahun 2015 akan didendangkan bersama untaian lagu lainnya seperti Penantian Bahagia, Makna Cinta, Terlukis Indah dan Cuek.
Rizky juga baru menawan peminatnya lewat lagu Salah yang pernah menjadi sebahagian daripada karya masterpiece Melly Goeslaw dan dijangka akan mendendangkan lagu tersebut dalam konsert sulungnya di negara ini.
Dengan lebih 25 buah lagu solo termasuk duet yang pernah dirilis, dan memenangkan banyak anugerah baik di Indonesia mahupun Asia, kedatangan pemilik lebih 13 juta pengikut di platform Instagram ini pasti akan memberi kepuasan kepada peminat.

“Kami melihat adalah penting untuk membawa pemenang Best Asian Artist Indonesia di MAMA Award 2020 ini ke Malaysia kerana dia mempunyai banyak peminat di sini.
“Selain itu segudang pencapaian yang dicetaknya sejak tahun 2015 sehingga perlu melalui musim pandemik tetapi masih mampu berkarya membuatkan pihak kami percaya Rizky akan memberikan yang terbaik buat peminat yang telah lama ingin bertentang mata dan menyanyi secara langsung bersama-sama,” ujar Pengurus The Jay Events & Media, Shafik Jay.
Tiket dengan harga bermula RM259 untuk zon Ragu (Normal seat) dan Terlukis Indah (free standing), RM309 untuk Makna Cinta (premium seat) serta tiket berharga RM2500 (maksimum 5 orang) dalam zon khas bagi sesi VIP-Meet & Greet bersama Rizky Febian.
Pembelian tiket sudah boleh dibeli di https://www.myticket.asia.

