PENGUATKUASAAN pindaan Akta Kerja 1955 ditangguhkan ke 1 Januari depan setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk industri yang masih dalam pemulihan pasca COVID-19.
Perkara itu diumumkan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan pada sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini pindaan Akta Kerja dijadualkan dikuat kuasa pada September yang antaranya pengurangan tempoh waktu bekerja daripada 48 jam ke 45 jam seminggu dan penambahan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 98 hari.
Selain itu, pindaan itu juga menyaksikan cuti paterniti dinaikkan daripada tiga hari kepada tujuh hari.
Menurut Saravanan, penangguhan itu telah diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini selepas pihak industri dan majikan sebulat suara memohon penangguhan atas beberapa faktor.
Katanya, libat urus bersama pemegang taruh mendapati majikan memerlukan sedikit masa sebelum pindaan itu dikuatkuasakan dengan mengambil kira isu kekurangan pekerja asing dan pemulihan syarikat pasca COVID-19.
“Selepas mendengar pandangan semua pihak, kerajaan membuat kesimpulan bahawa kami perlu memberi tempoh tiga bulan lagi untuk pemulihan ekonomi.
“Jika tidak, saya hanya bimbang jika industri terjejas, ramai akan kehilangan pekerjaan.
“Sudah tentu kementerian mengambil berat tentang kepentingan pekerja. Ini (penangguhan) untuk menjaga kepentingan mereka,” katanya seperti dilapor Bernama.
Saravanan berkata isu kekurangan pekerja asing timbul susulan negara menyekat kemasukan mereka sejak hampir tiga tahun lepas berikutan penularan COVID-19 yang menyebabkan masalah kekurangan tenaga kerja dalam industri.
Katanya, walaupun negara telah membenarkan semula pekerja asing untuk masuk ke Malaysia, proses untuk memenuhi keperluan industri akan mengambil masa.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa penangguhan itu adalah terakhir dan akan tetap dilaksanakan bermula 1 Januari depan tanpa mengira sebarang alasan oleh majikan.
Pindaan kepada Akta Kerja 1955 telah diluluskan di Palimen pada Mac lepas dan Saravanan sebelum ini dilaporkan berkata ia akan mula dikuat kuasakan pada 1 September ini.

