PEGUAM Negara (AG) satu jawatan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 145.
Melantik, menamatkan perkhidmatan dan memecatnya bukan sahaja memerlukan tertib pentadbiran tetapi perlu memenuhi kehendak perundangan.
Pemecatan AG perlu dilakukan menurut Perkara 145 (6), melalui tribunal seperti mana hendak memecat seorang Hakim Mahkamah Persekutuan.
Justeru, kehendak perundangan tidak semudah kehendak politik kerana AG berkait langsung dengan sistem keadilan.
Tan Sri Mohamed Apandi Ali pernah membawa kesnya ke mahkamah dengan saman jutaan ringgit terhadap kerajaan apabila Pakatan Harapan (PH) menamatkan perkhidmatan beliau dan menggantikannya dengan Tan Sri Tommy Thomas.
Baca: Dr. Mahathir tidak setuju penyelesaian luar mahkamah saman Apandi
Tommy dan Apandi pula ada persamaan apabila dilantik ke jawatan tersebut ketika mana AG terdahulu masih belum bersara atau belum tamat kontrak.
Tetapi tidak bagi Tan Sri Idrus Harun, beliau dilantik sebagai AG selepas kerusi itu kosong susulan peletakan jawatan Tommy.
Idrus kemudian dilantik semula Mac lalu untuk setahun lagi.
Baca: Idrus Harun dilantik semula Peguam Negara
Di depan orang awam, hujah diberikan – pelantikan seseorang itu ke jawatan AG ialah berdasarkan kepercayaan kerajaan yang individu itu mampu menegakkan keadilan dalam tugasnya sebagai penasihat undang-undang dan Pendakwa Raya.
Cumanya pada persepsi ramai, sesiapa sahaja yang dipilih menyandang jawatan itu sering dikaitkan kerana ada sebab-sebabnya (selain kelayakan perundangan) yang semua sudah maklum tetapi tidaklah alasan itu dijadikan secara rasmi.
Hanya apabila selepas bersara, Tommy misalnya tidak berselindung mendedahkan di dalam memoirnya bagaimana namanya boleh ‘naik’ kepada pejabat Perdana Menteri.
Tetapi sebelum itu, tiada siapa pun tahu secara terperinci.
Baca: “Kalau tahu ini yang berlaku, saya akan pilih orang lain jadi AG”
Memang sebegitulah kerana perlu melibatkan integriti proses termasuk orang yang melantik atau setidak-tidak dilihat sebegitu tanpa perlu banyak hu ha.
Di bawah Perkara 145 (1), yang melantik AG adalah kerajaan (atas nasihat Perdana Menteri).
Maka yang di dalam Pejabat Perdana Menteri hendaklah memelihara integriti bila menyentuh bab AG. Jangan beri peluru kepada musuh.
Elakkan dilihat mencampur aduk kehendak politik dengan kehendak perundangan secara terbuka seperti mana ucapan seorang pemimpin di PWTC semalam.
Jika tidak boleh membezakan antara jawatan parti dengan jawatan rasmi dalam PMO, buatlah pilihan.

