PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan enam ‘hadiah’ khas untuk anggota pentadbiran dan penjawat awam di semua peringkat.
Perdana Menteri berkata, kerajaan telah bersetuju untuk menaikkan kadar maksimum jumlah cuti rehat yang boleh dikumpulkan bagi tujuan ganjaran wang tunai (GCR) daripada 160 hari ke 180 hari.
Jelasnya, kerajaan memahami dengan beban tugas yang semakin besar dan mencabar, ramai anggota perkhidmatan awam yang tidak dapat menghabiskan cuti rehat tahunan mereka.
“Dengan kenaikan kadar maksimum GCR ini, ia membolehkan cuti tersebut disimpan.
“Dan cuti yang disimpan itu boleh digunakan bagi tujuan ganjaran wang tunai di masa persaraan sekaligus meningkatkan tunai di tangan pada hari persaraan kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam XVIII hari ini.
Baca lagi: ‘Drama’ di Dewan Merdeka, apa dosa Ismail Sabri?
Bagi hadiah kedua, Perdana Menteri berkata, kerajaan bersetuju untuk menambah Kadar Cuti Rehat Khas sebanyak lima hari menjadikan jumlah Cuti Rehat Khas 15 hari setahun kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang telah berkhidmat melebihi 10 tahun.
Jelas beliau, tambahan Cuti Rehat Khas sebanyak lima hari itu akan memberi manfaat kepada lebih kurang 500,000 guru bagi urusan-urusan yang mustahak dan kecemasan yang dibenarkan serta memberi peluang guru-guru mengumpul jumlah GCR yang lebih tinggi.
Perdana Menteri menambah, untuk hadiah ketiga, kerajaan bersetuju untuk memperluaskan tafsiran ahli keluarga bagi kemudahan Cuti Tanpa Rekod urusan kematian ahli keluarga terdekat.
Katanya, penambahbaikan tafsiran ahli keluarga itu diperluas kepada kematian yang melibatkan adik-beradik, nenek dan datuk bagi anggota perkhidmatan awam.
“Yang keempat, penambahbaikan pemberian pergerakan gaji tahunan kepada pegawai yang telah mencapai gaji maksimum.
“Kerajaan telah bersetuju menambahbaik Kadar Tetap tiga peratus semasa yang diterima oleh pegawai yang mencapai gaji maksimum kepada suatu kadar baharu.
“Kadar ini akan diseragamkan mengikut gred bagi semua klasifikasi perkhidmatan berkuat kuasa 1 Januari 2022.
“Jabatan Perkhidmatan Awam akan mengeluarkan Pekeliling berkaitan bagi penjelasan terperinci bagi perkara ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, hadiah kelima pula adalah tambahan khas bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) sebanyak RM100.
Jelas beliau, tambahan khas itu untuk penjawat awam Gred 11 hingga Gred 56 dan akan dibayar mulai Januari 2023.
Katanya, seramai 1.28 juta penjawat awam akan menerima manfaat tersebut dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.5 bilion.
Sebagai contoh, jelas Ismail Sabri, sebelum ini kadar KGT bagi gred 11 adalah RM80, maka pada tahun 2023, penerima akan menerima kadar KGT asas sebanyak RM80 dan tambahan khas sebanyak RM100 menjadikan jumlah KGT diterima pada tahun 2023 adalah sebanyak RM180.
“Manakala hadiah yang keenam adalah Bantuan Khas Kewangan (BKK) Tahun 2023.
“Bantuan ini dibayar kepada anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah berjumlah RM700 dan RM350 bagi pesara kerajaan dan veteran tidak berpencen yang akan diberi pada Januari 2023.
“Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam yang sentiasa memastikan jentera Kerajaan bergerak dengan berkesan, melaksanakan dasar dan menjayakan setiap aspirasi Kerajaan,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

