
MINGGU lepas saya menerima mesej daripada seorang rakan menyuarakan kebimbangan beliau perihal perpecahan dalam kalangan Melayu apabila tertubuhnya satu lagi blok parti politik Melayu untuk bersaing sesama sendiri dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Awal minggu ini pula saya dijemput untuk sembang-sembang oleh sebuah NGO berpengaruh. Mereka utarakan isu yang sama.
Jika dianggap mesej daripada kedua-dua sumber itu sebagai manifestasi kebimbangan dalam kalangan bangsa Melayu, ia adalah suatu realiti.
Namun, pada hemat saya, bangsa Melayu juga kena menerima realiti bahawasanya keruntuhan kuasa bangsanya bukan sesuatu yang baharu.
Ribuan tahun yang silam pun itulah juga ceritanya. Pemimpin semasa sekadar meneruskan legasi yang ditinggalkan pemimpin terdahulu, yang zaman berzaman telah melakukan kebodohan yang sama.
Lebih 3000 tahun yang silam, empayar kuasa Melayu cukup kuat dan luas jajahan takluknya. Di utara, sayap Kerajaan Champa hingga ke Vietnam dengan Laut China Selatan dulunya dikenali sebagai Laut Champa, itulah jajahan kuasanya. Di selatan, Hawaii itu juga adalah kepulauan Melayu. Raja terakhirnya, David Kalakao sendiri mengaku bahawa beliau adalah keturunan Melayu.
Itu cerita dulu.
Sedikit demi sedikit kuasa pemerintahan bangsa ini terhakis. Jika tidak oleh kuasa asing, ia disebabkan perpecahan sesama sendiri. Hari ini pun, tatkala kuasa yang masih ada hanya tinggal secupak, pemimpin Melayu masih enggan berhenti bertelagah.
Baca artikel berkaitan: Kemakmuran negara menyongsang arus
Jika inilah realitinya masakan bangsa Melayu ada masa depan di tanah air sendiri.
Salah-salah hemat, PRU15 nanti adalah PRU terakhir yang akan menyaksikan persaingan sengit di antara beberapa blok kuasa politik Melayu bersaing sesama sendiri.
Selepas PRU15, suasana dan lanskap kepimpinan negara akan berubah buat selama-lamanya. Pihak sebelah sana telah belajar daripada kesilapannya selepas memenangi PRU14. Mereka insaf akan bahana daripada sifat-sifat gelojohnya yang cepat sangat hendak menghukum penyokong parti lawannya dalam PRU14 lepas.
Selepas PRU15 mereka tidak lagi perlu gopoh sebab mereka ada masa yang mencukupi merencana agenda pembangunan negara yang akan meminggirkan bangsa Melayu seperti mana para penjajah sebelum ini pernah melakukannya.
Elok sangatlah bangsa Melayu bersiap siaga menyesuaikan diri dengan agenda survival baharu, sama seperti mana suku sakat mereka di Selatan Thailand misalnya.
Hatta, usahlah menuding jari kepada kepimpinan Melayu yang membina empayar dalam begitu banyak parti politik. Berhentilah menyalak menyalahkan mereka kerana enggan berhenti bertelagah sesama sendiri.
Janganlah juga menuding jari menyalahkan mana-mana penjawat awam Melayu yang kian tebal sifat-sifat mazmumahnya, yang meruntuhkan sistem pentadbiran kerajaan yang ada.
Semua itu bukan takdir. Semua itu adalah hukuman kepada bangsa Melayu yang tak pandai mengurus kuasa yang ada, sekalipun kini hanya tinggal secupak. Terimalah hakikat bahawa bangsa Melayu ini, bila dapat kuasa, perangainya tak ubah seperti kera dapat bunga.
Selamat menyambut hari kemerdekaan ke-65.
Penulis adalah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

