Petronas memeterai kerjasama strategik dengan dua syarikat UAE merentasi rantaian nilai tenaga. GAMBAR: Abd Razak Aid

Baru-baru ini saya berkesempatan menghadiri sidang meja bulat bersama para agamawan dan ilmuwan Islam yang hebat-hebat. Ia anjuran sebuah NGO Islam yang baru ditubuhkan.

Beberapa tahun yang lalu, Majlis Dakwah Negara (MDN), menjemput saya menghadiri sesi libaturus yang sama, melibatkan tokoh-tokoh dalam golongan yang sama, di tempat yang sama, matlamat yang sama, dalam skala yang lebih besar.

Dari kedua-dua acara yang saya hadiri itu dapatlah dirumuskan bahawa para agamawan dan ilmuwan Islam tidak ketandusan hasrat dan keinginan untuk berjuang menegakkan syiar Islam di negara berdaulat ini.

Di sidang kali ini, saya mendengar dengan penuh minat hujah-hujah bernas dan bersemangat daripada para peserta, yang jika saya sebutkan namanya satu persatu nescaya para pembaca sekelian kenal amat sangat mereka ini.

Bilangan hadirin yang hadir adalah kecil atas jemputan, maka semua diberi kesempatan untuk berhujah, termasuk saya.

Saya bukan dalam kategori agamawan atau ilmuwan Islam, hatta, saya berfikir sejenak apabila diminta berhujah, apakah yang nak dihujahkan. Hendaknya, hujah saya itu terkait atau relevan dengan matlamat sidang ini.

Alhamdulillah dengan izin-Nya jua, dapat saya himpunkan ingatan mengimbas kembali perjuangan MPM dalam membantu negara, bangsa dan agama mencorakkan agenda kemakmurannya.

Saya masih ingat, bermula 10 Mac 2008, dua hari selepas PRU12, saya didesak oleh rakan-rakan yang puluhan tahun bersama dalam Gerakan Sahabat (penggerak BTN), untuk berkumpul dan bermalam di Pearl Point Hotel, Jalan Klang Lama. Kami diminta fikirkan dan cari jalan bagi mengembalikan genggaman kuasa politik ke tangan bangsa, kerana keputusan PRU12 tergelincir jauh berbeza berbanding PRU11.

Sejak peristiwa 10 Mac 2008 itu, saya kembali aktif dalam dunia NGO. Belum pun sampai ke mana, sudah terasa keletihannya.

Pagar istana yang dipanjat semakin tinggi. Pintu pejabat menteri diketuk semakin tebal, tak didengar ketukan kami. Pegawai agensi amanah semakin sukar ditatap wajah mereka dek terlalu tinggi timbunan blueprints di atas meja masing-masing.

Akhirnya kami angkat tangan, perakui bahawa sampan kecil yang berdayungkan tangan, rupanya menyongsang arus kemakmuran. Kami memudik ke hilir tapi rupanya arus kemakmuran negara menyongsang ke hulu.

Bayangkan apa yang terjadi di depan mata kita kepada 10 tunggak atau domain kemakmuran ini:

• Alam sekitar semakin rosak. Kita membisu mungkin kerana tak cukup ilmu atau kepakaran untuk menyanggah kerosakan yang dilakukan.

• Sumber asli berbillion ringgit nilainya dicuri di depan mata pun kita masih kebingungan. Bumi ini adalah sekuriti kedaulatan dan maruah bangsa seperti mana diwasiatkan. Kini kita berpijak di bumi milik orang.

• Masyarakat majmuk semakin polarized. Pelan perbandaran dirancang untuk pinggirkan bangsa pribumi. Malah pinggir bandar juga semakin dihimpit untuk pinggirkan kita dari arus pembangunan.

• Zuriat kita lebih cenderung mendakap agenda The New World Order. Bila juara-juara mereka bertandang ke sini, seperti konsert yang baru berlangsung, sanggup anak-anak zuriat keturunan kita mengagung-agungkan mereka, Kita tergamam.

• Keselamatan negara terancam, sempadannya bolos dan 1.2 juta “pelancong” hilang, pun masih kita nyenyak tidur.

• Dalam bidang ekonomi kita semakin tercicir. Usahawan kita ibarat memandu kancil tua bersaing dengan mereka itu yang memandu Ferrari baharu yang laju. Semakin jauh perjalanan, semakin melebar jurang kekayaan di antara kita dengan mereka. Adakah kerana mereka lebih pandai berniaga berbanding kita?

• Bila berbicara hal pendidikan, mengapa pendidikan agama diselitkan sebagai subjek dalam pendidikan nasional, sebagai subjek akademik? Bukankah pendidikan agama wajib didahulukan dan berasingan daripada pendidikan kebangsaan.

• Apabila menyentuh domain governans dan integriti ternyata kekuatan agama tidak mampu menandingi kekuatan ekonomi hitam yang kini dikuasai siapa saja dalam kalangan pemegang taruh bangsa kita yang menggalas amanah mentadbir negara.

• Begitulah juga halnya nasib agama Islam yang dilihat tidak mampu menghalang nafsu politik bangsa kita yang mengalakkan pecah belah sesama sendiri. Berdakaplah mereka membentuk muafakat ummah, hanya sandiwara dalam beberapa episod saja. Kuasa politik tinggal secupak pun masih belum ada selera untuk berdamai.

• Domain terakhir saya sentuh tapi ia adalah yang terulung ialah ad-deen yang didokong oleh para ilmuwan Islam dengan begitu banyak institusi serta diletak terus di bawah pemerintahan raja Melayu. Hari demi hari semakin ketara kita saksikan betapa mereka ini dan institusi yang mereka dokong, semakin ditekan atau semakin hilang kekuatannya. Bukti mutakhir ialah apabila sistem judisiari sewenang-wenangnya mentafsir Perlembagaan Persekutuan di bawah pengaruh kuasa asing, bagi membolehkan institusi judisiari mengatasi semua institusi yang ada, termasuk institusi agama Islam.

Apa pun, saya optimistik dan akan tetap bersama rakan-rakan dalam kelompok ilmuwan ini, dengan harapan, secara kolektif kita semua hebat, bermaruah dan diberkati serta ada:

• Kebijaksanaan dalam berfikir
• Kelantangan dalam bersuara
• Keberanian dalam bertindak
• Ketegasan dalam pertahankan prinsip perjuangan,
• Kesepakatan dalam perjuangan

Negara ku ini tidak boleh dibiarkan menyongsang arus kemakmuran. Arus semakin deras, hakisan semakin ganas, masakan kita semua sekadar berdayung dengan tangan. Arus kemakmuran perlu diperbetulkan dulu. Siapa yang wajib kedepan menongkah arus kemakmuran yang menyongsang ini jika tidak ilmuwan Islam.

Penulis merupakan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)