AHLI Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said telah pun menghantar surat peletakan jawatan sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia).
Perkara itu disahkan Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan yang turut memaklumkan bahawa surat peletakan jawatan itu dihantar pada Khamis lalu.
Kenyataan itu hadir hanya sehari selepas Azalina mengesahkan beliau masih lagi Penasihat Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut Pejabat Perdana Menteri, Ismail Sabri telah pun menerima peletakan jawatan itu dengan notis sebulan seperti dimaklumkan dalam surat berkenaan.
“Notis sebulan diberikan bertujuan menyelesaikan kerja-kerja yang berkaitan dengan kakitangan beliau.
“Namun, dalam tempoh itu, Azalina tidak lagi bertugas di Pejabat Perdana Menteri kerana diberi cuti mulai 1 September sehingga tamat notis pada akhir September.
“Perdana Menteri mengucapkan penghargaan dan terima kasih atas perkhidmatan yang telah diberikan sepanjang tempoh beliau berkhidmat,” kata kenyataan itu hari ini.
Baca artikel berkaitan: Azalina sahkan masih Penasihat Khas Perdana Menteri
Semalam, Azalina dalam hantaran di Facebook mengesahkan bahawa beliau masih lagi Penasihat Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia setakat semalam.
Sebelum itu, media melaporkan Azalina telah menghantar surat peletakan jawatan dipercayai mempunyai kaitan dengan isu kritikan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu terhadap badan kehakiman.
Sabtu lalu, Azalina dengan penuh bersemangat menyampaikan ucapan berhubung pelantikan Peguam Negara.
Dalam Taklimat Khas Presiden UMNO yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) itu, Azalina berkata, pelantikan Peguam Negara adalah atas nasihat Perdana Menteri dan untuk itu Perdana Menteri perlu melantik ‘orang dia’ untuk memudahkan urusan.
Azalina telah dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia) pada 2 Oktober 2021.
Beliau sebelum itu meletakkan jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 23 Ogos 2021 dengan menyatakan beberapa alasan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

