PENOLONG ketua jurulatih pasukan bola sepak negara, E. Elavarasan diumumkan sebagai ketua jurulatih skuad bawah-23 (B-23) kebangsaan yang baharu menggantikan Brad Maloney.
Dalam pengumuman FAM hari ini, Elavarasan, 60, yang kekal menggalas tugas bersama pasukan senior akan dibantu Juan Torres Garrido dari Sepanyol sebagai pembantu ketua jurulatih.
Turut dimumkan membantu Elavarasan ialah jurulatih tempatan, Kris Yong (jurulatih penjaga gol) dan dua jurulatih Korea Selatan iaitu Jihyeon Park (jurulatih kecergasan) dan Lee Jeyoon sebagai jurulatih analisa persembahan.
Menurut Elavarasan, beliau berbesar hati menerima tugas yang tidak mudah dilaksanakan ini.
“Terima kasih kepada Presiden FAM yang percaya kepada keupayaan kami dan juga terima kasih kepada jurulatih Kim Kim Pan Gon,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.
Baca: FAM, Brad Maloney setuju lepaskan jawatan B-23
Mengulas dua peranan yang digalasnya kini, Elavarasan berkata, beliau bersedia untuk memberi yang terbaik dalam membantu Pan Gon mengumpul pemain terhebat ke dalam skuad senior dan pada masa sama menyediakan pemain muda berkualiti.
Bekas jurulatih PDRM FC dan Sarawak United FC itu juga berharap semua pihak termasuk kelab boleh memberi kerjasama dengan melepaskan pemain mereka yang diperlukan untuk tugasan dengan skuad B-23.
Pada masa sama katanya, bagi mendapatkan pemain berkualiti tinggi, beliau dan kakitangan kejurulatihannya akan memberi fokus yang lebih komprehensif dalam mengenal pasti pemain berbakat.
“Mengenal pasti bakat-bakat ini sangat penting untuk masa depan pasukan kebangsaan kerana asas pemain adalah bakat yang kita ada dari pasukan B-23 negara, jadi ia satu tugas yang besar,” katanya.
Elavarasan turut teruja untuk membimbing skuad itu ke Sukan Olimpik 2024 di Paris yang disifatkannya sebagai tugas yang mencabar.
Sementara itu, Pengarah Teknikal FAM Scott O’Donell berkata, pelantikan Elavarasan adalah bagi memastikan kedua-dua pasukan menggunakan pendekatan yang sama dalam permainan.
“Pada pandangan saya pelantikan Elavarasan selari dengan gaya permainan dan falsafah pasukan pertama.. tugas utamanya ialah memastikan terdapat kumpulan pemain yang lebih besar untuk dipilih oleh Pan Gon.
“Itulah sebabnya kami melantik beliau sebagai ketua jurulatih,” katanya.

