PEMIMPIN tertinggi Pas menjelaskan kepada Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) bahawa tiada rundingan rasmi dibuat antara parti itu dan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pas dalam mesyuarat malam tadi juga mengulangi pendirian untuk memperkukuhkan kerjasama dengan parti-parti anggota dalam PN.
“Perbincangan adalah secara tidak rasmi dan tidak melibatkan pucuk pimpinan parti.
“Tiada apa-apa kemajuan dicapai daripada perbincangan ini setelah UMNO membuat pendirian untuk tidak bekerjasama dengan PAS dalam PRU-15,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Isu berkenaan timbul selepas seorang pemimpin tertinggi Pas baru-baru ini memaklumkan terdapat rundingan antara pemimpin Pas dan UMNO berhubung bentuk kerjasama pada PRU-15.
Baca: Kerjasama PAS-UMNO: PN akan dapatkan penjelasan PAS
Pas sentiasa main selamat, mandi beberapa kolam – Zahid
Sementara itu, kata Muhyiddin, MT PN telah membuat ketetapan untuk memberi tumpuan kepada usaha membela nasib rakyat khususnya golongan miskin dan berpendapatan rendah dalam menghadapi kesan inflasi dan keadaan ekonomi yang diunjur tidak bertambah baik.
“Mesyuarat mengambil maklum bahawa kumpulan B40 telah meningkat menjadi kumpulan B60 dan penyediaan bantuan bagi kumpulan pendapatan terkebawah ini mesti diberikan tumpuan oleh Kerajaan.
“Bagi membantu meringankan beban kumpulan ini, PN mengarahkan seluruh jentera parti di semua peringkat agar melaksanakan program Prihatin Rakyat di seluruh negara bagi menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” jelasnya.
Tambah Muhyiddin, MT PN dalam mesyuarat malam tadi juga telah meluluskan pelantikan Ketua-Ketua Kawasan bagi negeri Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Pahang.

