Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin GAMBAR: Abd Razak Aid

SEHARI dua ini heboh diperkatakan tentang Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang tidak diberikan ubat tekanan darah tinggi biasanya.

Perkara itu dinafikan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bahawa ubat yang diberikan kepada Najib sebenarnya tidak ditukar sebaliknya ubat generik yang mempunyai formulasi sama.

Bagaimanapun, peguam Najib, Datuk Zaid Ibrahim mempersoalkan tindakan itu dan mahu Najib diberikan ubat yang biasa digunakannya.

Menjawab perkara itu, Khairy berkata, tiada masalah untuk bekas Perdana Menteri itu mendapatkan bekalan ubatnya sendiri sekiranya tidak mahu menerima ubat diberikan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut Khairy, prosedur Jabatan Penjara membenarkan banduan yang sanggup membeli bekalan ubat sendiri daripada sumber luar.

Malah, Khairy berkata telah memaklumkan tentang perkara tersebut kepada ahli keluarga Najib sekiranya mahu membekalkan ubat berjenama kepada Ahli Parlimen Pekan itu.

“Cuma ubat yang kita bagi di hospital itu ubat generik tetapi kalau dia nak bawa ubat sendiri, tiada masalah dan perkara ini telah dimaklumkan kepada ahli keluarga beliau.

“Cuma pada hari beliau berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kita bagi yang generik.

“Difahamkan di penjara pun memang Najib bawa bekalan ubat sendiri dan kita pun tak ada masalah kalau dia nak bawa bekalan ubat itu dan saya juga difahamkan beliau dah bawa ke HKL,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Najib diberi cuti sakit dua hari, tak ceria seperti biasa – Shafee

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara KKM dan IHH Healthcare Malaysia, hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy memaklumkan telah berhubung dengan Jabatan Penjara mengenai peraturan melibatkan perkara berkenaan.

Katanya, ahli keluarga banduan boleh membekalkan ubat melalui penjara sekiranya banduan itu memilih untuk membeli sendiri.

Jelas beliau, pihak penjara akan memeriksa ubat berkenaan bagi memastikan tidak mengandungi apa-apa perkara lain sebelum diberikan kepada banduan.

“Perkara sama berlaku di HKL, saya dah maklumkan kepada pengarah bahawa kita amalkan benda sama. Kalau di penjara dia boleh gunakan ubat dia, bila bekalan dah sampai (ke hospital), dia gunakanlah.

“Cuma pada hari tersebut memang kita bagi apa yang kita ada di HKL. Tak timbul yang kita nafikan (hak) dia.

“Pada hari sebelum seseorang pesakit discaj daripada hospital, kita bekalkan dengan ubat yang dikeluarkan farmasi dan ubat itu adalah generik,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram