Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah. GAMBAR: Abd Razak Aid

KEPUTUSAN sama ada peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan dibebaskan atau diperintah membela diri terhadap dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM9.5 juta didakwa diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak dan dua tuduhan membuat penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan diketahui pada 28 Okt ini.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujah pihak pendakwaan dan pembelaan di akhir kes pendakwaan.

“Saya perlu meneliti dan mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak yang lebih 500 muka surat. Oleh itu, keputusan ditetapkan pada 28 Okt ini, 9 pagi,” kata hakim itu.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz manakala Muhammad Shafee diwakili peguam Harvinderjit Singh, Farhan Read dan Muhammad Farhan Muhammad Shafee.

Pada 12 Mei lepas, pihak pendakwaan menutup kes selepas mengemukakan seramai lapan saksi pada perbicaraan yang bermula 21 Mei 2021.

Antara saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan Pengurus Cawangan Ambank Jalan Raja Chulan R.Uma Devi, Pengurus Cawangan CIMB Bank Bukit Tunku Rosnita Ahmad, bekas pegawai LHDN Syed Nasrul Fahmi Syed Mohamad dan Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Farid Jabar.

Baca: Shafee sembunyi ‘identiti’ wang RM9.5 juta diterima dari Najib – Saksi

Saksi tidak sihat, kes pengubahan wang haram Shafee ditangguh

Pada 13 Sept 2018, Muhammad Shafee, 70, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek dikeluarkan Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya, iaitu cek RM4.3 juta diterima pada 13 Sept 2013 manakala RM5.2 juta pada 17 Feb 2014.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, Taman Tunku, Bukit Tunku dekat ibu negara mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam itu juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di LHDN cawangan Jalan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015 dan berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram.

— BERNAMA