Tangkap layar memaparkan mangsa diculik sekumpulan lelaki di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Tumpat. (Gambar kecil) Mangsa, Rosnazirah Mohd Naim.

POLIS mengesahkan insiden seorang ejen kosmetik yang didakwa diculik di Kampung Semat Jal, Palekbang, Tumpat pada petang semalam dipercayai melibatkan sindiket dadah.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kejadian culik itu dipercayai berpunca kerana perselisihan faham dalam kalangan ahli sindiket terbabit.

Beliau berkata, suami mangsa yang bekerja sebagai nelayan telah ditahan bersama dua individu lagi di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat, semalam.

“Suami mangsa bersama seorang suspek lelaki dan wanita berusia antara 35 hingga 47 tahun direman sehingga Sabtu bagi membantu siasatan.

“Mengikut siasatan, suami mangsa mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah penyeludupan manakala seorang lagi suspek lelaki, tujuh rekod lampau.

“Kami dapati mangsa mengetahui tentang kegiatan suaminya itu yang terlibat dalam sindiket dadah,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Baca artikel berkaitan : Polis sahkan terima laporan wanita didakwa diculik dekat Tumpat

Jelas Muhamad Zaki, pihaknya telah menjalankan operasi khas bagi mengesan mangsa yang didakwa telah dilarikan ke Thailand.

Katanya, polis juga telah menghubungi pihak berkuasa Thailand dan mengadakan kerjasama bagi membawa pulang mangsa.

“Siasatan awal mendapati mangsa mengenali suspek yang menculiknya.

“Setakat ini keluarga mangsa memaklumkan mereka tidak menerima sebarang panggilan yang meminta wang tebusan,” katanya.

Semalam UtusanTV melaporkan mangsa Rosnazirah Mohd Naim 36, dibawa lari dengan menaiki kereta Jenis Toyota Vios berwarna perak dalam kejadian 4.10 petang itu.

Malah, klip video rakaman kejadian culik terbabit juga tular memaparkan aksi mangsa dibawa lari oleh sekumpulan lelaki.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram