BUKU autobiografi Tan Sri Ibrahim Abu Shah bertajuk ‘Tersinggung Dalam Perjuangan’ mengangkat perpaduan, integriti dan kepimpinan sebagai tiga elemen utama yang perlu diberi perhatian pembaca khususnya generasi masa kini.
Dilancarkan di Wisma Majlis Perundingan Melayu (MPM) hari ini, buku setebal 700 muka surat itu mencatatkan perjalanan kehidupan dan himpunan pengalaman suka duka Ibrahim sebagai seorang insan yang sangat mengambil berat tentang kehidupan anak bangsanya.

Buku tersebut juga menepati prinsip,nilai dan peribadi beliau yang sanggup berkorban mengharungi pelbagai insiden yang mengujikeberanian,kesabaran serta kewibawaan dalam perjuangan untuk menegakkan hak dan perpaduan.
Ketika sesi membedah buku dalam majlis pelancaran hari ini, Penganalisis Keselamatan Nasional, Datuk Dr Ruhanie Ahmad menyifatkan buku tersebut selaras dengan cita-cita untuk mewujudkan perpaduan.
“Buku ini berjaya menggandingkan seluruh pendapat dan pemikiran di atas dengan cita-cita untuk mewujudkan keharmonian agama dan perpaduan nasional yang sejati di Malaysia yang majmuk,” katanya.

Sementara itu, Ibrahim berkata, Tersinggung Dalam Perjuangan mengambil masa hampir dua tahun untuk disiapkan.
Jelas beliau, banyak cabaran yang terpaksa dihadapi ketika ingin menyiapkan autobiografi tersebut.
“Fokus untuk menyiapkan buku ini bermula Januari tahun ini. Sememangnya saya tidak cukup tidur kerana ingin menumpukan perhatian sepenuhnya penghasilan yang terbaik.
“Antara elemen yang ingin saya sampaikan adalah perpaduan tanpa mengira perbezaan parti. Saya mahu semua parti-parti Melayu bersatu mempertahankan agama dan bangsa.

“Dalam bab 14 dari buku autobiografi, saya dah tunjuk bukti sahih bahawa jika orang Melayu tidak bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), bermula satu gerakan yang mana nasib orang Melayu akan menjadi seperti di Palestin pada masa akan datang,” katanya.
Baca lagi: MPM anjur Randau Wasiat Raja-Raja Tanah Melayu
Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, mereka yang berminat untuk mendapatkan buku autobiografi tersebut boleh melakukan pembelian di laman sesawang www.ibrahimshah.com.my atau Facebook beliau iaitu Ibrahim Shah.

Autobiografi Tersinggung Dalam Perjuangan dijual dengan harga RM100 bagi kulit buku lembut manakala untuk kulit buku keras dijual dengan harga RM200.
Antara peristiwa yang dicatat dalam autobiografi tersebut adalah usaha untuk membina Fakulti Perubatan di Sungai Buloh yang mana Ibrahim diuji dengan pelbagai dugaan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

