PEMBAYARAN Fasa Tiga dan Rayuan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan dikreditkan ke dalam akaun penerima mulai 20 September ini secara berperingkat dan dijangka selesai seminggu kemudian, kata Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata, pembayaran berjumlah RM2.2 bilion itu akan memanfaatkan seramai 8.7 juta penerima yang terdiri daripada penerima BKM sedia ada iaitu dalam kategori isi rumah, warga emas bujang/tiada pasangan dan bujang serta mereka yang telah lulus Rayuan BKM.
“Kerajaan sentiasa mengutamakan kebajikan seluruh Keluarga Malaysia terutama ketika negara berdepan dengan cabaran kenaikan inflasi dan juga krisis geopolitik yang memberi kesan menyeluruh terhadap rantaian global,” katanya.
Dalam kenyataan akhbar hari ini, beliau berkata, BKM merupakan komitmen berterusan kerajaan bagi meringankan beban golongan B40 dan untuk pembayaran BKM Fasa 3, setiap penerima BKM sedia ada bakal menerima sehingga RM900.
BERITA BERKAITAN BKM: Bantuan cecah RM8.2 bilion, tertinggi dalam sejarah – Tengku Zafrul
“Manakala, lebih daripada 80,000 penerima telah diluluskan Rayuan BKM dan mereka akan menerima sehingga RM2,350 mengikut kategori kelayakan masing-masing, termasuk Bantuan Tunai Tambahan yang diumumkan kerajaan pada Jun lepas,” tambahnya.
Sehingga September 2022, sebanyak RM5.9 bilion telah disalurkan kepada penerima BKM melalui fasa pembayaran yang telah ditetapkan dan masih terdapat bayaran fasa 4 berjumlah RM2.1 bilion yang akan disalurkan kepada mereka yang layak pada Disember 2022.
Semakan status pembayaran boleh dibuat mulai 20 September 2022 melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my.
Ismail Sabri berkata, kerajaan kekal komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terutamanya kumpulan sasar dengan aspek jaringan keselamatan sosial akan terus diberi tumpuan di dalam Bajet 2023.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

