Proses bina Keluarga Malaysia bersatu padu, miliki identiti nasional perlu dipertahan – PM

Dari Penulis

PROSES membina Keluarga Malaysia yang bersatu padu dan memiliki satu identiti nasional perlu terus dipertahan demi menjamin kelangsungan kedaulatan negara bangsa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ini kerana semakin bertambah usia negara, cabaran dan ancaman dihadapi semakin besar serta bertambah kompleks dengan musuh yang cuba memecah-belah hadir dalam bentuk ekonomi, politik dan sosial termasuk anasir luar giat berusaha menggugat kestabilan serta ketenteraman bangsa dan negara.

Perdana Menteri berkata jika anasir itu dibiarkan berleluasa dan akhirnya memuncak, dibimbangi ia akan menjadi ancaman kritikal yang boleh mengancam perpaduan Keluarga Malaysia. 

“Laksana bara yang mula menyalakan puntung, menyalakan unggun, jika tidak segera dibendung akan menyemarakkan api permusuhan, mencetuskan perselisihan kaum dan agama yang boleh melemahkan Keluarga Malaysia, seterusnya memusnahkan negara. Umpama bidalan kukur apa kepada kukur, nyiur juga yang binasa.

“Menyatupadukan pelbagai negeri dengan latar belakang demografi yang rencam dan berbeza, ditambahkan lagi dengan faktor geografi yang berbukit-bukau dan Laut China Selatan menjadi pemisah, bukanlah tugas yang mudah.

“Justeru, nilai-nilai Keluarga Malaysia yang berteraskan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran adalah ramuan penting dalam usaha membina kekuatan seluruh Keluarga Malaysia, dari Perlis sehinggalah ke Sabah, agar terus teguh bersatu, kukuh berpadu serta kalis cabaran dalam menghadapi gelombang dan arus globalisasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2022 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir di Melaka malam ini.

Ismail Sabri berkata nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dengan bersendikan konsep Tasamuh yang digariskan oleh Islam, antara jaminan kepada kelangsungan untuk Malaysia terus kekal sebagai sebuah negara yang aman, stabil, harmoni dan sejahtera meskipun mempunyai perbezaan dan kepelbagaian.

Beliau berkata memupuk perpaduan Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, kaum, budaya dan taraf sosioekonomi merupakan agenda besar dan penting kerajaan demi kelangsungan sebuah negara yang aman, stabil, harmoni dan sejahtera. 

“Malaysia dibentuk dan dibangunkan dengan memberikan jaminan keadilan, perlindungan dan hak kepada setiap Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Semua ahli Keluarga Malaysia, bebas mengamalkan budaya warisan bangsa, menguasai pelbagai bahasa  serta menganut agama yang dianuti dari leluhur masing-masing,” katanya. 

Menyentuh mengenai sambutan Hari Malaysia 2022, Perdana Menteri berkata penganjuran sambutan itu buat julung kalinya di luar Sabah dan Sarawak iaitu di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir Melaka sudah tentunya mengimbau kembali lipatan sejarah tanah air.

Beliau berkata Banda Hilir Melaka pernah menjadi saksi laungan pengisytiharan kemerdekaan pada 20 Feb 1956 selain turut menyaksikan turunnya bendera Union Jack, tepat 6.30 petang pada tanggal 30 Ogos 1957. 

“Catatan sejarah menjadi saksi bahawa pengisytiharan itu juga bagaikan satu penyembuh duka bangsa, selepas Melaka dicengkam penjajah lebih 400 tahun lamanya,” katanya. – BERNAMA


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

UMNO berhak tentukan hala tuju sendiri menjelang pilihan raya – Asyraf Wajdi

UMNO menegaskan parti itu mempunyai hak mutlak untuk menentukan pendirian dan hala tuju politiknya sendiri menjelang mana-mana pilihan raya,...

More Articles Like This